Thursday, August 6, 2026

Kepada makcik tuduh penyokong PH tak pandai mengucap

 Bermula dari sinilah wacana kekafiran, dan keimanan menjadi titik tolak paling tunjang dalam kempen PN, atau PAS untuk menolak DAP, dan PH.

faisal tehrani

Tular sebuah video yang memperlihatkan seorang wanita penyokong Perikatan Nasional (PN) mempertikaikan sama ada penyokong Pakatan Harapan (PH) ini boleh mengucap dua kalimah syahadah atau tidak. Video ini dirakam ketika kempen PRN Negeri Sembilan sedang memuncak. Dua kalimah syahadah adalah garis atau tanda penerimaan seseorang itu beriman, atau beragama Islam. Mereka yang menganut agama Islam akan terlebih dahulu mengucap dua kalimah syahadah dan ini merupakan satu rukun yang penting.

Bermula dari sinilah wacana kekafiran, dan keimanan menjadi titik tolak paling tunjang dalam kempen PN, atau PAS untuk menolak DAP, dan PH. Parti komponen dalam PH mestilah ditolak kerana mereka ditunjangi oleh DAP, yang merupakan parti kafir, atau parti orang kafir.

Ironinya ialah PAS amat menginginkan undi orang kafir untuk berkuasa. Selepas PRU15, Presiden PAS, Hadi Awang misalnya mengakui yang dapatan bedah siasat PRU15 mereka mendapati antara kelemahan PAS adalah masih gagal menarik sokongan pengundi kafir ini. Dalam PRU15, juga PRN 2023 (dan PRN Negeri Sembilan yang lalu), PAS menerima sokongan mendadak sehingga merekodkan peningkatan sebanyak 140%, iaitu daripada 18 kerusi pada PRU14 kepada 43 kerusi ketika PRU15. Dalam PRN di enam negeri pada 2023 pula, PAS mencapai tahap kemenangan 83% dengan mendapat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tertinggi sebanyak 105 kerusi berbanding parti-parti lain. Ia adalah kejayaan untuk PAS sepanjang sejarah 71 tahun penubuhan parti itu menerusi kerjasama dalam gabungan PN. PAS dijangka terus beroleh kuasa demi kuasa dalam siri PRN berdekatan, dan dijangka menjadi pemain utama selepas PRU kelak.

Dalam erti kata lain, PAS sedang menuju ke lebuh raya tanpa gendala dan macet, untuk memerintah Malaysia.

Sekiranya PAS satu hari kelak memerintah negara iaitu selepas memenangi hati kaum kafir dan serentak itu cukup jumlah untuk membentuk kerajaan persekutuan, bagaimanakah model negara Islam yang PAS akan dirikan?

Ada sebuah tesis sarjana Abu Bakar Abdullah di Universiti Kebangsaan Malaysia, yang kemudian diterbitkan dengan judul “Ke Arah Pelaksanaan Undang-undang Islam di Malaysia: Masalah dan Penyelesaiannya” (1986). Siapakah Abu Bakar Abdullah? Arwah adalah sahabat baik Hadi, yang merupakan lejen dalam PAS. Pada 1977, Abu Bakar Abdullah bersama Abu Bakar Chik menubuhkan Institut Berakan. Beliau pernah menjadi setiausaha PAS Kuala Nerus dan juga pengerusi Majlis Tindakan DUN Tepoh. Antara 1986 sehingga 1991, beliau terpilih sebagai ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat dan menjadi pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Pusat. Ketika era beliau
memimpin PASTI, rangkaian prasekolah PAS itu memiliki buku teksnya sendiri. Pada 2 Dis 1999, Abu Bakar turut dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang berperanan dalam Jawatankuasa Kebajikan Sosial dan Kesihatan.

Buku “Ke Arah Pelaksanaan Undang-undang Islam di Malaysia: Masalah dan Penyelesaiannya” karya Abu Bakar adalah panduan bagaimana atau apa caranya PAS akan memerintah negara ini kelak apabila meraih kuasa. Abu Bakar merungkai hasrat PAS untuk menguasai Malaysia dan cara untuk menundukkan ‘orang kafir’.

Pertamanya, apakah maksud dan kedudukan orang kafir menurut Abu Bakar? Tulis beliau begini: ‘Orang-orang bukan Islam yang tinggal di Malaysia kebanyakannya jenis musyirikin; menyembah berhala, seperti beragama Buddha, Hindu dan Animisme. Sebahagian mereka beragama Kristian. Tidak dapat ditentukan status mereka dengan tepat, sama ada dhimmi, musta’min atau harbi. Mufti Terengganu pernah mengeluarkan fatwa mengatakan mereka adalah kafir dhimmi, manakala mufti Kelantan mengatakan mereka bukan kafir harbi. Tetapi fatwa tersebut mungkin tidak tepat, kerana untuk menentukan orang-orang bukan Islam sebagai kafir dhimmi, musta’min atau harbi hanya boleh dibuat sekiranya Malaysia menjadi sebuah negara Islam.’

Untuk kelompok yang menolak pendirian negara Islam dengan alasan Malaysia adalah negara majmuk, Abu Bakar memetik kata-kata seorang ulama jalur keras dan menukilkan begini: ‘Mengikut Afif Abd al-Fatah Tabarah, masyarakat bukan Islam bersikap negatif terhadap undang-undang Islam dan mereka tidak mahu dilaksanakan undang-undang tersebut, kerana bimbang akan mengembalikan kegemilangan umat Islam dan menyekat kebebasan beragama di kalangan mereka.’

Keduanya, apakah status orang kafir dalam politik negara kita sekiranya cita-cita Abu Bakar menjadi kenyataan? Menurutnya untuk jawatan-jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam, ‘Perlembagaan Persekutuan hendaklah memperuntukkan bahawa jawatan-jawatan penting seperti panglima angkatan tentera, ketua polis negara, ketua setiausaha negara, ketua hakim negara serta lain-lain jawatan penting yang berhubung dengan urusan agama Islam dan polisi negara hendaklah dilantik daripada orang yang beragama Islam’.

Tambahan beliau: ‘Orang bukan Islam (baca: kafir) tidak boleh dilantik memegang jawatan-jawatan tersebut. Mereka hanya boleh dilantik memegang jawatan-jawatan yang setaraf dengan “Wazir al-Tanfiz” dalam sistem pemerintahan Islam, iaitu jawatan-jawatan untuk melaksanakan dasar yang telah ditetapkan.’

Ketiganya, Abu Bakar menyarankan apabila negara Islam Malaysia tertegak, kelayakan wakil rakyat perlu disemak kembali. Menurut beliau, ‘Perkara 47 Perlembagaan yang menetapkan kelayakan seseorang itu untuk dipilih dan dilantik menjadi wakil rakyat hendaklah warganegara Malaysia, bermastautin di dalam persekutuan, berumur tidak kurang daripada 21 tahun dan tidak hilang apa-apa kelayakan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 48 Perlembagaan, hendaklah dipinda dan digantikan dengan suatu peruntukan yang menetapkan seseorang itu layak dipilih dan dilantik menjadi wakil rakyat hendaklah beragama Islam, adil, mempunyai ilmu pengetahuan dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan negara, mempunyai keupayaan dan amanah.’

Keempatnya, adakah orang kafir akan mempunyai wakil di Dewan Rakyat jika gagasan di atas terlaksana? Kajian Abu Bakar memutuskan ‘orang bukan Islam hanya boleh dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai mewakili orang-orang bukan Islam di Parlimen dan dilantik oleh sultan bagi Dewan Undangan Negeri. Perlembagaan Persekutuan juga hendaklah memperuntukkan bahawa orang bukan Islam tidak boleh dipilih oleh orang Islam sebagai wakil mereka. Dan menetapkan bahawa orang bukan Islam boleh dipilih oleh orang bukan Islam sahaja sebagai wakil mereka’.

Dalam erti kata lain, orang kafir tidak banyak pilihan. Buku ini menyatakan yang dalam hal ‘Kelayakan Pengundi’, ‘Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kelayakan seseorang untuk menjadi pengundi hendaklah warganegara Malaysia, berumur 21 tahun dan bermastautin di kawasan pilihan raya hendaklah dan digantikan dengan memperuntukkan bahawa setiap warganegara Malaysia yang beragama Islam hanya layak menjadi pengundi apabila cukup umur 18 tahun dan berhak memilih atau mengundi orang-orang Islam sahaja sebagai wakil mereka. Bagi warganegara bukan Islam, maka hendaklah berumur cukup 18 tahun dan hanya layak mengundi orang-orang bukan Islam sahaja sebagai wakil mereka’.

Hujah ekstrem di atas menunjukkan kedudukan orang kafir dalam sebuah negara Islam di bawah PAS. Kelihatannya tidak banyak hak berpolitik diberikan buat mereka. Dalam prakata di buku Abu Bakar ini, Hadi menulis kata-kata serba muluk. Hadi yang kini presiden PAS menganggap kajian sahabatnya itu ‘lampu yang menyinari umat Islam’. Dan untuk mereka yang kafir, Hadi mengharapkan buku ini dapat ‘menjadi kajian di kalangan orang-orang yang belum Islam yang sedang mencari-cari suatu penyelesaian muktamad terhadap masalah dalam segala aspeknya’.

Mempermasalahkan identiti kafir dan kekafiran bukanlah cabaran PH semata-mata. Ia adalah cabaran umat. Raja Ali Haji dalam Kitab Pengetahuan Bahasa menjelaskan kata bebal sebagai kafir. Beliau membahagikan beberapa jenis kafir; dan dua dari kekafiran yang sempat disebutkan adalah ‘kafir juhud’ iaitu menurut beliau kafir mungkir, dan ‘kafir inad’ iaitu kafir bantahan kerana takbur dan sombongnya.

Adalah tidak syak lagi kata kafir itu terpakai untuk satu keadaan, fenomena, atau gejala ‘tidak berakhlak’. Malahan, tidak bersalahan jika dikatakan bahawa orang yang tidak berakhlak itu adalah orang kafir. Ini juga bermakna akhlak menentukan seseorang itu kafir atau tidak. Kekafiran tidak tersangkut pada perbezaan keyakinan, kepercayaan atau akidah.

Walaupun demikian, apakah definisi kafir menurut al-Quran? Ini memandangkan al-Quran menyebut berkali-kali pengertian kafir.

Pada ayat 6 surah al-Baqarah, Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya orang kafir ialah orang yang engkau beri peringatan atau tidak engkau beri peringatan, mereka tidak mempercayainya.” Ini menunjukkan kata kafir itu dipadankan dengan kata sifat ‘pengkhianatan’.

Lihat juga pada ayat 38 surah al-Hajj, kafir sekali lagi disandingkan dengan pengkhianatan. Manakala pada ayat 32 surah Luqman, kata sifat ‘tidak setia’ dikaitkan dengan orang kafir. Hal lain kita melihat kata sifat ‘pendusta’ turut dihubungkan juga dengan kafir, yakni pada surah al-Zumar ayat 3; sementara kata sifat ‘degil’ turut dihubungkan dengan kafir pada ayat surah Qaf ayat 24. Selain itu kerja maksiat juga pernah dihubungkan dengan kafir pada ayat 27 surah Nuh.

Kesimpulannya, Islam menghubungkan ‘orang kafir’ itu ditandai dengan perbuatan tercela sementara orang beriman pula ditandai dengan akhlak terpuji. Aspek fikah dalam agama kita sangat berhubungan dengan akhlak. Sebagai contoh, aksi atau ibadah solat dihubungkan dengan usaha menegah kekejian dan kemungkaran pada ayat 45 surah al-Ankabut. Sementara ibadah puasa pula dihubungkan dengan menjadi orang bertakwa pada ayat 183 surah al-Baqarah, dan orang yang bertakwa itu pula dihubungkan dengan ayat ‘orang yang menginfakkan hartanya dalam suka dan duka, yang mampu menahan amarahnya, yang memaafkan orang lain dan berbuat baik’ pada ayat 134 surah Ali ‘Imran. Ibadah besar haji juga dihubungkan dengan akhlak, seperti yang difirmankan Allah pada ayat 197 surah al-Baqarah, maksudnya: ‘Barangsiapa yang melakukan kewajiban haji, maka hendaknya dia tidak berkata kotor, tidak melakukan kefasikan dan tidak bertengkar pada waktu haji.’

Aktiviti dan ibadah zakat pula dilihat sebagai sia-sia jika tidak berakhlak pada ayat 264 surah al-Baqarah, iaitu ayat yang bermaksud: ‘Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan si penerima, seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riyak kepada manusia, dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian.’

Jelas, hubungan intim akhlak dan ibadah ini sangat diperipentingkan oleh agama Islam hatta dalam fikah sekalipun. Ini bererti akhlak dan fikah sangat berhubungan. Justeru hukum (yang terkandung dalam fikah) datang dengan falsafah untuk membentuk akhlak, bukan semata-mata untuk menjatuhkan hukuman buat manusia.

Jelas sekali, pengertian kafir itu tidak dapat dilekatkan semata-mata kepada ‘orang bukan Islam’. Tidak semestinya. Pengertian yang diberikan di atas, dengan merujuk dalil al-Quran memaparkan kata kafir terlekat bukan sahaja kepada orang bukan Islam, tetapi juga kepada orang Islam.

Masalah umat, masalah pihak berkuasa agama, masalah kita di Malaysia ialah kita gagal memberi tafsiran yang jelas apakah itu kafir, dan siapakah yang kafir. Makanya wacana kekafiran ini direbut oleh pihak yang ekstrem, bersifat kultus dan dikitar semula secara semberono. Sekiranya wacana ini tidak dihentikan, dan pihak yang menularkannya tidak dicegah atau diharamkan, kita akan berdepan dengan Malaysia yang terlalu lain di masa mendatang.

Pengundi Melayu Islam beranak dengan ramai sekali. Pengundi Cina dan India pula ramai yang tidak berkahwin, tidak melahirkan anak-anak misalnya. Populasi ‘kafir’ sedang mengecut. Kalau PAS tidak berkuasa dalam PRU akan datang ini, PAS akan tetap berkuasa dalam PRU18, atau PRU19; mungkin PRU20. Dan moga-moga kita masih dapat mengekalkan Malaysia seperti hari ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.