Hampir 70 tahun merdeka politik ketakutan masih laku dijual. Penjajah sudah lama pulang tapi pecah dan perintah masih tinggal dalam kepala kita oleh ahli politik.

Menjelang sahaja bulan Ogos menandakan kita sedang memasuki Bulan Kebangsaan. Bermakna kehangatan suasana merdeka sudah dinyalakan seawalnya sebelum sampai ke tarikh 31 Ogos. Tetapi suasana sambutan selalunya diakui agak hambar di peringkat awam. Maksudnya, inisiatif rakyat terbanyak dalam menyambut hari kemerdekaan negara memang lemah. Lihat diri kita dan sekitar kejiranan kita sendiri, betul tak? Inilah realiti yang tak sedap diakui.
Bukanlah tiada langsung sambutan. Jalur Gemilang pun sudah mula dipasang di sana-sini, program kerajaan tentulah sedang disusun dan semakin dekat 31 Ogos nanti semakin meriahlah suasananya. Itu memang acara wajib setiap tahun. Kerajaan sudah pastilah menggerakkan acara untuk hari bersejarah ini. Cuma, kita-kita ini – macam tak bersemangat sangat. Yang bersemangat pula menjadi patah bila berlakunya serang-menyerang kerana salah pasang bendera atau bendera cacat. Ini pun salah satu punca orang malas pasang bendera agaknya.
Tapi, mungkin perasaan saya sahaja. Atau mungkin juga kerana saya membandingkan sambutannya dengan suasana zaman dahulu. Dulu apabila masuk sahaja bulan Ogos, suasana kemerdekaan seperti datang sendiri kepada kita. Televisyen dan radio memainkan lagu patriotik, menayangkan drama khas merdeka manakala sekolah pula mengadakan acara pentas, koir, drama, pantomim dan perbarisan. Ah! Itu cerita nostalgia tapi sekarang pun bukan tak ada. Ada tapi kenapa macam tak menular ke ceruk lapisan masyarakat dari kampung hingga ke taman perumahan bandar?
Saya fikir kemungkinan masalahnya bukanlah rakyat Malaysia semakin kurang patriotik tetapi mungkin cara kita, khususnya generasi masa kini, memahami dan merasakan kemerdekaan itu sendiri sudah berubah. Semangatnya sudah lain. Dahulu kita hidup dalam ruang maklumat yang terhad dan gelembungnya hampir sama, tidak terpecah-pecah. Media elektronik dan media cetak seakan membawa hala tuju yang sama. Apabila sebuah lagu menjadi popular misalnya, hampir seluruh negara mengenalinya. Apabila sesuatu kempen dilancarkan, kita semua nampak kempen yang sama bergerak senada.
Dunia internet mengubah semuanya. Hari ini, di bawah langit yang sama, kita memang tinggal serumah tetapi tidak semestinya berada dalam ruang maklumat yang sama. Kita melayan Facebook, anak kita menghabiskan masa menonton TikTok, bapa kita ralit dengan YouTube. Ada yang mengikuti K-pop, bola sepak Inggeris, permainan video atau meniti dari satu podcast ke satu podcast sama ada agama mahupun politik. Kita berpencar-pencar pada minit dan jam yang sama. Sukar diurus. Malah dalam media sosial yang sama pun algoritma menghidangkan kandungan berlainan kepada setiap orang. Sebab itu semakin sukar mewujudkan satu suasana kolektif seperti dahulu.
Kerajaan boleh melancarkan kempen Bulan Kebangsaan yang besar tetapi kalau algoritma tidak menghantarnya ke telefon kita, kita boleh menjalani kehidupan seharian tanpa menyedari pun kempen itu sedang berlangsung. Seperti sebuah gosip hangat yang tular, kita boleh tak tahu langsung kerana kita memang tak ambil ‘pot’ dalam dunia tersebut.
Ada kemungkinan juga tentang jurang generasi yang kian melebar. Kemerdekaan semakin ‘jauh’ daripada generasi muda hari ini. Generasi yang mengalami sendiri detik negara mencapai kemerdekaan pada 1957 semakin sedikit. Yang lahir setahun dua selepas merdeka pun sudah menjadi warga emas. Generasi bawah mereka mungkin tidak mengalami penjajahan tetapi masih menerima tempias emosinya daripada ibu bapa, guru dan masyarakat yang masih dekat dengan zaman tersebut.
Saya sendiri misalnya lahir 16 tahun selepas merdeka dan langsung tidak merasai penjajahan serta proses peralihan tersebut. Saya tak mampu memahami perasaan pejuang kemerdekaan yang bercerita dengan lelehan air mata. Saya hanya menghafal tema Hari Kebangsaan setiap tahun sambil melukis logonya dalam subjek Lukisan di sekolah. Hari Kebangsaan bagi saya ialah hari cuti umum, ada perbarisan di padang majlis daerah dan kalau malas pergi, tengok sahajalah perarakan rasmi kerajaan di kaca TV. Itu yang saya lihat.
Apatah lagi bagi seorang anak muda berusia 20 tahun hari ini. Tahun 1957 bagi mereka memang sejarah ‘purba’. Dia tahu Tunku Abdul Rahman melaungkan ‘Merdeka!’. Dia mempelajarinya di sekolah dan boleh menonton rakamannya di internet. Tetapi sekadar menonton sebuah rakaman peristiwa sahajalah! Sedangkan saya yang sudah berusia 53 tahun ini pun kurang merasai hubungan emosi dengan hari kemerdekaan, mereka ini lagilah.
Perkara ini sebenarnya berlaku kepada semua perjuangan apabila generasi bertukar. Ambil Reformasi 1998. Bagi generasi saya, Reformasi 98 bukan sekadar satu babak dalam politik Malaysia. Kami ‘ada’ ketika ia berlaku. Saya berusia 25 tahun ketika itu, sudah tentulah semangat muda saya meluap dan berapi. Kita melihat depan mata sendiri episod demonstrasi, penangkapan, mata lebam Anwar Ibrahim dan pergolakan politik selepas pemecatannya daripada kerajaan. Kita juga terlibat di dalam perhimpunan.
Itulah sejarah perjuangan saya (istilah yang dirasakan tepat pada waktu itu) sebagai anak muda tahun 1998. Sebab itulah saya pernah berasa gembira apabila perjuangan tersebut mula menemui kemenangan dalam beberapa pilihan raya dari 2008 sehingga terus berlakunya pertukaran kerajaan pada 2018. Secara peribadi, itulah ‘merdeka’ bagi saya. Tetapi anak muda berusia 20 tahun hari ini belum pun lahir ketika reformasi bermula. Dia tidak mengenali Anwar ketika ucapan-ucapan di Dataran Merdeka atau ketika anak muda dan aktivis ditahan tanpa bicara bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Sedar-sedar Anwar yang berada di depan mata ialah perdana menteri Malaysia yang membawa gagasan Madani. Generasi hari ini ‘menikmati’ hasil sebuah perjuangan politik yang bermula jauh sebelum kelahiran mereka. Mereka hanya mendengar cerita abah dan mak tentang tangkapan, gas pemedih mata dan sebagainya. Samalah seperti saya mendengar datuk saya bercerita tentang penampar askar Jepun dan kisah betapa seksanya hanya dapat makan ubi kayu. Simpati juga tapi tidaklah terlalu, kerana saya tiada pada waktu itu.
Setiap generasi mewarisi hasil perjuangan generasi sebelumnya tanpa semestinya mewarisi emosinya. Sebab itu tidak adil kalau kita sekadar menuduh generasi baharu kurang patriotik kerana mereka tidak merasakan kemerdekaan seperti generasi era merdeka merasakannya. Kita sedang memaksa mereka bernostalgia terhadap sesuatu yang tidak pernah mereka alami. Bak kata orang Perak, “mane maunye, yeop!”
Maka itu, saya rasa kita perlu memberikan makna baharu kepada merdeka. Kita harus mengenal pasti apakah ertinya merdeka kepada rakyat Malaysia pada 2026? Sebuah negara yang sudah hampir tujuh dekad merdeka tidak boleh selama-lamanya hanya bercakap tentang kebebasan daripada penjajah yang sudah lama pulang. Tidak ada kemajuannya apabila menjelang 31 Ogos kita mengulang tayang lagi filem Bukit Kepong di kaca TV.
Kita kena bergerak lebih daripada itu. Apa agenda penghayatan merdeka zaman sekarang? Kita nak merdeka daripada apa pula pada dekad ini?
Mungkin salah satu makna merdeka hari ini ialah merdeka daripada ketakutan terhadap satu sama lain. Tujuh puluh tahun kita hidup bersama membina Malaysia. Kalau orang Melayu masih disuruh takut kepada orang Cina, orang Cina ditakutkan dengan Islam, manakala Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak masih saling memandang dengan prasangka yang menebal, maka kita harus keluar daripada penjara ini.
Setiap kali pilihan raya kita masih mendengar cerita bahawa jika pihak tertentu menang, kaum ‘tertentu’ akan kehilangan itu dan ini, manakala kaum ‘tertentu’ yang lain pula akan merampas itu dan ini. Paranoia yang tak sudah-sudah.
Hampir 70 tahun merdeka, politik ketakutan masih laku dijual. Penjajah sudah lama pulang tetapi pecah dan perintah masih tinggal dalam kepala kita oleh ahli politik. Oleh itu, janganlah jadikan ahli politik sebagai penjajah baharu kita. Kita perlu merdeka daripada jiwa hamba begini. Ini adalah salah satu perjuangan utama kita pada hari ini.
Bagi saya kerajaan Madani hari ini wajar memaknai semula merdeka supaya semua generasi zaman ini dapat menghayatinya. Kita perlu membina kebebasan untuk berbeza tetapi tetap percaya bahawa Malaysia ini milik kita bersama. Salah satu asasnya ialah menerima dengan ikhlas Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa yang menyatukan kita semua. Menerima sebuah bahasa bersama tidak bermaksud kita perlu membuang bahasa ibunda, budaya atau identiti masing-masing. Tetapi sebuah negara memerlukan ruang bersama supaya kita benar-benar berasa bahawa kita sedang membina negara bangsa yang sama.
Sudah sampai masanya kita meninggalkan ‘lagu lama’ kepada generasi yang sedang mencari makna baharu. Merdeka 1957 ialah sejarah yang wajib kita kenang. Tetapi setiap generasi mempunyai belenggunya sendiri.
Sebab itu merdeka tidak sepatutnya sekadar mewariskan kepada anak muda cerita tentang apa yang pernah kita bebaskan. Kita juga perlu mengenal pasti apakah yang masih membelenggu kita pada hari ini supaya dapat kita sama-sama berjuang meleburkannya.
Ini kerana jika kita segenap lapisan generasi hari ini berjaya melepasinya, nescaya kita akan lebih dapat menghayati makna merdeka setiap kali datang tarikh Hari Kebangsaan. Merdeka! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.