Menteri pendidikan berkata sesi khas bersama pemegang taruh akan diadakan bagi jawab dan teliti kebimbangan dibangkitkan guru.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi menjawab dan meneliti setiap kebimbangan yang dizahirkan oleh guru berhubung pelaksanaan polisi berkenaan.
“Saya memahami kegusaran yang disuarakan oleh guru-guru berhubung polisi perlindungan murid sekolah. Buat masa ini, saya memohon agar semua guru bertenang dan memberi ruang kepada KPM untuk menerangkan perkara ini secara menyeluruh.
“Saya telah meminta ketua pengarah pendidikan dan penasihat undang-undang KPM untuk mengadakan satu sesi khas bersama pemegang taruh bagi menjawab dan meneliti setiap kebimbangan yang dizahirkan oleh guru,” katanya di Facebook.
Menurut Fadhlina, polisi berkenaan merujuk kepada perlindungan untuk semua pihak yang berurusan dengan murid, merangkumi panduan terperinci berhubung tanggungjawab dan tatacara pengendalian sekiranya berlaku sebarang insiden di sekolah.
Tambahnya, keutamaan KPM adalah untuk melindungi murid, guru, serta seluruh warga sekolah melalui persekitaran yang selamat secara teliti dan bertanggungjawab.
Semalam, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membangkitkan kebimbangan mengenai arahan menandatangani borang aku janji berhubung kepatuhan polisi tersebut seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) KPM Bil. 4 2026 bertarikh 1 Julai 2026.
Setiausaha Agungnya, Fouzi Singon, menyifatkan tindakan mewujudkan unsur paksaan untuk menandatangani aku janji berkenaan adalah tidak wajar dan menidakkan usaha serta perkhidmatan guru selama ini.
Katanya, aku janjinya itu akan merisikokan guru dan menjadi penguat kepada sesiapa yang menjadi plaintif dalam saman sivil kepada guru yang mungkin akan berlaku pada masa hadapan.
Beliau juga meminta semua ahli supaya tidak menandatangani aku janji tersebut, selain menggesa pihak sekolah tidak memaksa guru berbuat demikian sementara menunggu persetujuan bersama. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.