Thursday, August 6, 2026

Nurul Izzah kekal ahli PKR, terus sokong perjuangan Anwar

 Nurul Izzah Anwar umum letak jawatan timbalan presiden PKR untuk meneruskan pengajian lanjutan berdiri atas khidmat dan bakti.

NURUL IZZAH ANWAR - KONGRES PKR - PERSADA JOHOR
Terdahulu, PKR umum Nurul Izzah Anwar akan bercuti sementara daripada tugasnya sebagai timbalan presiden PKR selepas kongres nasional parti itu minggu depan.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar akan kekal sebagai anggota PKR dan terus menyokong perjuangan parti di bawah pimpinan Anwar Ibrahim, walaupun melepaskan jawatan timbalan presiden.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Anwar dan barisan kepimpinan PKR kerana mengambil maklum keputusannya berundur daripada jawatan nombor dua parti itu.

Nurul Izzah menjelaskan keputusan berkenaan dibuat selepas pertimbangan panjang bagi membolehkannya meneruskan pengajian lanjutan serta membuka langkah baharu dalam kehidupannya.

“Keputusan ini dibuat setelah pertimbangan panjang untuk mengorak langkah baharu dalam meneruskan pengajian lanjutan yang berdiri di atas khidmat dan bakti, serta tidak semestinya terikat dengan dunia politik.

“Saya akan terus kekal sebagai anggota PKR, memberikan dokongan kepada perjuangan ke arah Malaysia yang lebih baik yang dirangkul saf kepimpinan parti di bawah pimpinan Anwar beserta akar umbinya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap Saifuddin Nasution Ismail selaku timbalan presiden dan Amirudin Shari sebagai pengarah pilihan raya untuk melaksanakan amanah mereka dengan bijaksana dan tekun.

Terdahulu, PKR mengumumkan Nurul Izzah akan bercuti sementara daripada tugasnya sebagai timbalan presiden PKR selepas kongres nasional parti itu minggu depan.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil dipetik berkata Nurul Izzah sebenarnya memohon untuk berundur sepenuhnya, namun Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti memutuskan untuk membenarkan beliau berehat seketika daripada peranan itu.

Nurul Izzah juga diumumkan akan merasmikan Kongres Wanita dan Pemuda PKR pada 14 Ogos.

Nurul Izzah dipilih sebagai timbalan presiden PKR pada Mei tahun lepas, menewaskan penyandangnya, Rafizi Ramli.

Susulan itu, Rafizi keluar parti bersama bekas naib presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad, untuk melancarkan Parti Bersama Malaysia (Bersama). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.