Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon membidas Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin kerana cuba mengheret MCA susulan kenyataan pemimpin PAS.

Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin terkenal kerana “sentiasa mencari pasal dengan MCA”.
“Saya ingin meminta beliau melihat cermin sebelum bertanya kepada MCA berkaitan kenyataan daripada PAS kerana DAP pernah berpakat dengan PAS sebanyak tiga kali.
“Tidak perlulah beliau sentiasa cuba menjadi batu api terhadap segala kenyataan daripada PAS,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat Mohd Nor Hamzah menyeru pengundi beragama Islam supaya menyokong partinya untuk mengambil alih Putrajaya, bagi memastikan lesen premis judi dapat ditamatkan di peringkat persekutuan.
Seruan itu menyusuli keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, yang menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu keputusan pembatalan arahan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis judi di Kedah.
Keputusan itu mengesahkan bahawa punca kuasa dan perundangan berkaitan kelulusan lesen perjudian tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, bukannya kerajaan negeri.
Di sebalik cakap-cakap mengenai potensi kerjasama antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional pada PRU16, Sin Woon berkata dasar kerajaan persekutuan perlu melepasi Jemaah Menteri.
“Ingin saya tegaskan, segala dasar kerajaan persekutuan perlu mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan bukan pandangan mana-mana pihak.
“Jadi, Kampar (Zhemin) tidak perlu berlakon secara naif dengan cuba mengheret MCA dan MIC dalam isu sebegini,” kata Sin Woon.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong, berkata kenyataan pemimpin PAS mengenai sesuatu isu “perlu dilihat dalam konteks yang lebih matang”.
“Jika ia merupakan pandangan berdasarkan pegangan agama seorang Muslim, ia tidak bermakna pandangan tersebut secara automatik menjadi dasar negara,” katanya.
“Sebarang perubahan dasar negara adalah perkara yang perlu dibincangkan secara bersama oleh parti-parti yang membentuk kerajaan, mengambil kira Perlembagaan, undang-undang sedia ada, kepentingan semua kaum serta pandangan rakyat. Ia bukan hak mutlak mana-mana satu parti,” katanya.
Mike turut mempersoalkan tindakan Zhemin kerana menujukan soalan itu hanya kepada MCA dan MIC.
“Janganlah setiap kali ada pandangan daripada pemimpin PAS, DAP terus cuba mengheret MCA dan MIC untuk menjawab seolah-olah pandangan seorang pemimpin PAS itu sudah menjadi dasar kerajaan atau dasar gabungan yang belum pun diputuskan,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.