Friday, August 7, 2026

Pelajar kolej didakwa bunuh bayi baru lahir

 Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Sesyen Kluang
Tiada jaminan ditawarkan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan Mahkamah Majistret Kluang menetapkan 8 Okt ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
PETALING JAYA:
Seorang pelajar kolej didakwa di Mahkamah Majistret Kluang atas pertuduhan membunuh bayi perempuan baru dilahirkan minggu lalu.

Sinar Harian melaporkan tiada pengakuan direkodkan daripada Nurshazwen Mohd Idris, 19, selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nurasidah A Rahman kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa melakukan bunuh sehingga menyebabkan kematian seorang bayi perempuan baru dilahirkan di sebuah rumah Taman Setia Mutiara di Kluang kira-kira 10 pagi 29 Julai lalu.

Gadis itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun. Jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Aznan memaklumkan tiada jaminan ditawarkan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Mahkamah menetapkan 8 Okt ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Semalam, Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Noh dilaporkan berkata, seorang pelajar lelaki 19 tahun yang direman berhubung kes sama sebelum ini, dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan.

Pada 30 Julai lalu, Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, sepasang kekasih yang juga pelajar kolej berumur 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung seorang pelajar dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom kerana melahirkan anak.

Beliau berkata, hasil siasatan menunjukkan bayi itu dijumpai tenaga pengajar kolej berkenaan dan pemeriksaan lanjut di hospital mendapati ada seorang lagi bayi (kembar) dalam kandungan pelajar terbabit, yang selamat dilahirkan kemudian. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.