Saturday, August 15, 2026

PKR Sabah bawa suara Malaysia Timur, mahu kuota diesel naik 500 liter

 Pengerusi PKR Sabah Mustapha Sakmud berkata pihaknya turut cadang kuota petrol kembali 300 liter.

Mustapha Sakmud (tengah) bersama dua pemimpin PKR Sabah Ruji Ubi (kiri) dan Jamawi Jaafar (kanan) pada kongres PKR di Melaka. (Gambar Pejabat Mustapha Sakmud)
PETALING JAYA:
PKR Sabah menyampaikan suara rakyat Sabah dan Sarawak supaya kuota diesel dinaikkan kepada 500 liter, manakala kuota petrol Budi Madani dikembalikan kepada 300 liter seperti sebelum ini.

Pengerusinya Mustapha Sakmud berkata wakil pembahas Sabah Junaidah Makku pada Kongres PKR turut mencadangkan pengeluaran bahan api itu dihadkan kepada 125 liter seminggu bagi mengurangkan ketirisan.

Beliau turut menekankan PKR akan terus konsisten memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam kerangka Persekutuan yang adil serta menghormati kedudukan serta keistimewaan negeri itu.

“PKR Sabah akan terus menjadi jambatan memperkukuh hubungan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan, sambil memastikan suara, aspirasi dan keperluan rakyat sentiasa berada dalam agenda utama kerajaan Madani,” katanya dalam kenyataan.

Mustapha yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) turut mengalu-alukan kehadiran Ketua Menteri Hajiji Noor dan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai jemputan khas pada perasmian kongres berkenaan di Melaka.

“Kehadiran ketua menteri bersama pimpinan GRS mencerminkan hubungan dan semangat kerjasama yang terus dipupuk antara kepimpinan Sabah dengan PKR di peringkat Persekutuan.

“Khususnya dalam memastikan agenda pembangunan dan kepentingan rakyat Sabah terus diberikan perhatian,” katanya.

Menurutnya, PKR yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga mempunyai tanggungjawab besar dalam memimpin Kerajaan Madani untuk memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif.

“Selain itu seimbang dan mengambil kira keperluan serta keunikan setiap wilayah termasuk Sabah,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.