Ketua Polis Pulau Pinang Dennis Lim Kwang Keng berkata siasatan masih berjalan termasuk mengesan suspek yang terlibat.

Ketua Polis Pulau Pinang Dennis Lim Kwang Keng berkata petunjuk itu tidak dapat didedahkan kerana siasatan lanjut masih berjalan termasuk mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.
“Memang (polis) ada petunjuk kes ini dan bagi sikit masa lagi untuk kami jalankan siasatan lanjut termasuk mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tembak berkenaan.
“Setakat ini kami telah menahan beberapa individu untuk membantu siasatan, namun ia bukan bermakna mereka telah ditahan sebagai suspek tapi untuk kita rekodkan keterangan bantu siasatan,” katanya kepada pemberita di IPD Seberang Perai Selatan (SPS).
Beliau ditemui selepas melepaskan Program Amal Konvoi Bermotosikal PDRM dan Ipoh Superbiker’s Club (ISBC) sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 dan Sambutan Hari Polis ke-219, dengan 174 peserta menyertainya.
Ditanya mengenai kemungkinan motif kejadian tembak itu, Lim berkata polis masih belum mempunyai bukti kukuh untuk membuat sebarang kesimpulan berhubung motif kes tersebut.
Dalam kejadian pada 27 Julai lepas, seorang lelaki cedera ditembak dalam kejadian dipercayai cubaan bunuh di kawasan perniagaan Seri Tambun, Simpang Ampat dan mangsa berusia 38 tahun yang mengalami kecederaan akibat tembakan itu dilaporkan menerima rawatan serta berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, Program Amal Konvoi Bermotosikal siri keempat berkenaan melibatkan perjalanan sejauh 1,956km merentasi 12 kontinjen sebelum berakhir di Kuala Lumpur pada 21 Ogos dan melalui program tersebut, 10 warga PDRM Kontijen Pulau Pinang yang menghidap penyakit kronik menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian bernilai RM100 serta wang tunai sebanyak RM300.
Keprihatinan itu turut diperluaskan kepada rumah kebajikan Kompleks Penyayang Sinar Kasih dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) yang masing-masing menerima sumbangan RM1,000 sebagai tanda sokongan terhadap peranan serta usaha kebajikan yang dilaksanakan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.