Saturday, August 15, 2026

Selepas TH, kerajaan akan bongkar isu Felda, kata Anwar

 Perdana menteri berkata Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan baru-baru ini turut menekankan siasatan terhadap isu berkaitan institusi milik rakyat tidak terhenti setakat TH.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang melanggar peraturan atau mengambil harta rakyat.
HANG TUAH JAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi isyarat kerajaan akan membongkar isu berkaitan Felda selepas menangani penyelewengan membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau berkata, perkara itu turut ditekankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam pertemuan dengannya baru-baru ini yang mahu siasatan terhadap isu berkaitan institusi milik rakyat tidak terhenti setakat TH.

“Agong minggu lalu maklum kepada saya, jangan berakhir dengan TH sahaja. Teruskan.

“Agong tanya siapa jaga Felda sekarang? Saya jawab saya. Selesai TH, bongkar Felda,” katanya yang juga presiden PKR dalam ucapan dasarnya sempena Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.

Tegasnya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang melanggar peraturan atau mengambil harta rakyat dan tindakan penguatkuasaan perlu diambil segera terhadap pihak terbabit penyelewengan.

Pada siri kempen PRN Negeri Sembilan, bulan lalu, Anwar mendedahkan kerajaan terpaksa membayar RM980 juta setiap tahun sebagai ganti rugi susulan kerugian ditanggung Felda.

Menurutnya, Felda di bawah pengurusan terdahulu mencatat keuntungan sehingga RM1 bilion dan menjadi kebanggaan Malaysia kerana agensi itu memiliki dan menguruskan ladang terbesar di dunia.

Sementara itu, Anwar pada 7 Ogos mengarahkan Felda mengemukakan laporan lengkap berhubung cadangan penjualan sebuah hotel milik agensi itu yang didakwa mahu dijual pada harga jauh lebih rendah berbanding harga asal ketika dibeli.

Hotel itu dicadangkan untuk dijual pada harga £100 juta (RM550 juta), sedangkan ia dibeli oleh pengurusan terdahulu pada harga £160 juta.

Anwar turut melahirkan rasa kesal terhadap cadangan penjualan yang akan menyebabkan kerugian itu, terutama ketika peneroka Felda masih berdepan pelbagai kesukaran dan memerlukan bantuan kerajaan untuk menambah baik kemudahan asas. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.