Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata cadangan RCI supaya dana Tabung Haji diselia Suruhanjaya Sekuriti sahaja tidak mencukupi.

Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata badan itu boleh mengawal selia institusi seperti Tabung Haji (TH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Menurutnya, langkah itu perlu kerana Malaysia ketika ini tidak mempunyai satu kerangka kawal selia menyeluruh bagi institusi kewangan bukan bank.
Institusi terbabit sebaliknya tertakluk kepada akta masing-masing dan diselia kementerian atau agensi berbeza.
“Kerajaan perlu wujudkan sebuah agensi kawal selia prudensial khusus untuk mengawal selia institusi yang disebutkan tadi.
“Cadangan RCI supaya pengurusan dana Tabung Haji diselia oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak mencukupi. Perlu pendekatan menyeluruh,” katanya ketika membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH di Dewan Rakyat.
Radzi mencadangkan kerajaan mencontohi APRA, selain menjadikan hasil siasatan RCI terhadap TH sebagai titik tolak untuk memperkemas pengawasan institusi yang menguruskan wang rakyat.
Beliau turut menggesa kerajaan berbincang dengan bekas gabenor Bank Negara Muhammad Ibrahim serta pakar kawal selia mengenai cadangan mewujudkan sebuah “super-regulatory body”.
“Pandangan Muhammad mengenai keperluan pengawasan lebih kukuh terhadap institusi berkenaan selari dengan cadangannya.

Sementara itu, Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) turut mencadangkan kewujudan pengawal selia bagi institusi kewangan bukan bank (NBFI) seperti TH, KWSP, PNB dan LTAT.
Katanya, Malaysia tidak mempunyai satu pihak berkuasa tunggal yang bertanggungjawab terhadap penyeliaan berhemah, penilaian risiko sistemik dan pengawasan tadbir urus bagi sektor kewangan bukan bank.
“Institusi-institusi ini sangat penting kepada sistem kewangan negara kerana keputusan pelaburan mereka mempengaruhi pasaran modal, pembiayaan kerajaan, kestabilan pasaran dan daya tahan ekonomi negara.
“Berbeza dengan sektor perbankan yang dikawal selia secara berpusat di bawah Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan meminda Akta Lembaga Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi termasuk melarang ahli politik aktif dilantik sebagai pengerusi atau anggota lembaga TH.
Menurutnya, pindaan itu juga perlu memperkukuh kedudukan Jawatankuasa Penasihat Syariah menerusi peruntukan undang-undang supaya keputusan badan berkenaan mempunyai kuasa mengikat. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.