Wednesday, August 12, 2026

Umno Pahang terbuka kerjasama PAS, kata Wan Rosdy

 Naib Presiden Umno bagaimanapun berkata fokus utama kini berkhidmat untuk rakyat.

Wan Rosdy Wan Ismail berkata pihaknya sedia membuka pintu kerjasama dengan mana-mana parti politik lain termasuk PAS untuk menghadapi PRU16, sekiranya ia memberi manfaat kepada rakyat Pahang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Naib Presiden Umno, Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerjasama antara partinya dan PAS di Pahang pada PRU16 bukan sesuatu yang mustahil.

Malah, Wan Rosdy yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Pahang, berkata pihaknya sedia membuka pintu kerjasama dengan mana-mana parti politik lain termasuk PAS sekiranya ia memberi manfaat dan kebaikan kepada rakyat di negeri berkenaan.

“Kita terbuka. Bukan sahaja kepada PAS, kepada mana-mana parti sekalipun,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Bagaimanapun beliau menambah, belum ada sebarang rundingan rasmi diadakan antara kedua-kedua pihak ketika ini.

Menteri besar Pahang itu berkata fokus utama kepimpinan negeri pada masa ini adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat berbanding memikirkan perihal percaturan politik PRU.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar dilaporkan berkata parti itu bersedia bertembung dengan mana-mana parti pada pilihan raya akan datang jika usaha penyatuan parti-parti Melayu gagal dicapai.

Menurut Rosli, walaupun PAS meletakkan agenda penyatuan ummah sebagai keutamaan, parti itu masih belum mengadakan sebarang perbincangan rasmi berhubung kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Sharkar Shamsudin dilaporkan berkata pendekatan di Negeri Sembilan tidak semestinya boleh digunakan di Pahang atau negeri lain, merujuk kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, setiap negeri mempunyai keadaan tersendiri.

Pahang kini ditadbir oleh kerajaan gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) yang dibentuk selepas PRU15 apabila tiada mana-mana parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian.

Pada pilihan raya lalu, BN memenangi 17 kerusi DUN, manakala PN menguasai 17 kerusi dan PH memperoleh lapan kerusi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.