Thursday, August 13, 2026

Wakil rakyat jangan sakiti rakyatlah

 Mereka wakil rakyat dan yang berlaku ialah wakil rakyat menyakiti rakyat.

Mohsin Abdullah

Terus terang saya kata Ahli Parlimen Perikatan Nasional memang dah plan nak belasah PMX pada sidang khas Dewan Rakyat mengenai laporan RCI Tabung Haji Selasa lalu. Apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak hadir di Parlimen (kerana menjalani rawatan di hospital), mereka bengang, tak puas hati dan marah, lalu keluar dewan beramai-ramai sekali gus boikot perbahasan.

Oleh itu mereka tak ambil bahagian dalam perdebatan mengenai satu isu penting. Semua alasan yang diberi untuk menjustifikasi tindakan mereka adalah just that — alasan.

Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui PN boikot sidang khas Tabung Haji sebab Anwar tak hadir. Menurut beliau isu berkaitan Tabung Haji perlu dibincangkan secara menyeluruh di Dewan Rakyat dengan kehadiran perdana menteri.

Adakah tanpa kehadiran perdana menteri isu itu tidak boleh dibincang secara menyeluruh? Katalah for the sake of argument, perbincangan tidak menyeluruh lalu dibincang ‘separuh’. Bukankah ini lebih baik daripada tidak bincang langsung? Akibat Ahli Parlimen PN keluar dewan?

Hamzah Zainudin si ketua pembangkang mendakwa sidang Selasa lalu diturun taraf atau downgraded menjadi sesi penerangan oleh menteri. Pandangan saya begini: sama ada yang membentang atau membawa laporan RCI Tabung Haji di Parlimen itu perdana menteri atau menteri (dalam hal ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Hasan), perkaranya tetap sama, isunya sama, kandungannya sama. It’s about the report, not the person bringing the report.

Menteri agama memang ada locus standi untuk membawa laporan dan bercakap mengenai Tabung Haji. Pada zaman kerajaan terdahulu sama ada BN atau PH memang menteri agama mempunyai hak bercakap mengenai Tabung Haji.

Semasa PN jadi kerajaan dulu menteri agama dan timbalan adalah wakil PAS yang juga dibolehkan bercakap mengenai Tabung Haji. Kalau mereka tak cakap soal itu, siapa yang mesti dipersalahkan?

Berbalik soal PN boikot sidang khas Selasa lalu. Jika ada sesuatu isu atau perkara yang YB PN nak dibawakan untuk pengetahuan perdana menteri, ia tetap boleh dilakukan meskipun perdana menteri tidak hadir. Ini kerana adanya hansard Parlimen iaitu penyata rasmi yang merekod segala perbahasan, ucapan, soalan dan jawapan semasa sidang Parlimen kata demi kata yakni verbatim. Ia dijadikan rujukan undang-undang, sejarah dan fakta politik. Ertinya dalam isu laporan RCI Tabung Haji apa yang diluahkan oleh Ahli Parlimen PN akan dicatat lantas boleh dirujuk oleh perdana menteri.

Mereka juga boleh menulis surat kepada speaker meminta perdana menteri mengulas atau menjawab persoalan the next time the PM comes to Parliament. Mereka juga boleh utus surat rasmi terus kepada perdana menteri. Tetapi mereka kena hadir dan bercakap dalam Parlimen terlebih dahulu. Jika tidak apa hansard nak catat?

RCI Tabung Haji ditubuhkan zaman Muhyiddin Yassin jadi perdana menteri. Ia siap semasa Ismail Sabri Yaakob jadi perdana menteri. Dalam kedua-dua pentadbiran itu PAS ada didalamnya. Oleh itu jika PAS melontar pertanyaan mengenai laporan RCI Tabung Haji, naturally pertanyaan juga boleh dilontarkan kepada PAS. Tentu menarik.

Tetapi kita tidak dapat saksikan itu berlaku kerana PAS bersama Wawasan memilih untuk boikot sidang khas Tabung Haji.

Apa yang dikata skandal Tabung Haji berlaku pada zaman Umno-BN pimpinan Najib Razak. Oleh itu Presiden Putra Ibrahim Ali mendakwa apa yang dilakukan Ahli Parlimen PN ialah sekadar mahu membuktikan mereka sanggup buat pengorbanan besar untuk membela Umno-BN terkait isu Tabung Haji.

Dakwa Ibrahim: “Dalam keadaan begitu pemimpin Umno akan termakan budi PAS dan sekutunya. Maklumlah yang terlibat dalam penyelewengan (yang didedahkan RCI) ialah para pemimpin Umno. Mereka bersedia bersama demi cinta yang dirujuk semula walaupun si janda dah melakukan macam-macam macam hal.”

‘Rujuk semula’ rasanya umum tahu beliau bercakap mengenai kerjasama Umno-PAS atau BN-PN sejak kebelakangan ini.

Jujur saya kata saya sering tidak setuju dengan kenyataan Ibrahim. Tetapi kali ini membuat saya merenung apa yang dikata beliau.

Apa pun Bersatu dan Muda tidak ada masalah mengambil bahagian dalam perdebatan sidang khas Selasa lalu. Muhyiddin selaku presiden Bersatu berkata partinya adalah pembangkang yang bertanggungjawab dan isu Tabung Haji membabitkan orang Melayu dan umat Islam. Mungkin Bersatu boleh dituduh bertindak demikian kerana sudah putus hubungan dengan PN tetapi realitinya parti itu menyertai perdebatan.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman si Ahli Parlimen Muar daripada Muda menegaskan pembangkang yang boikot sidang khas Tabung Haji telah gagal memperjuangkan kepentingan lebih 10 juta pendeposit institusi itu. Saya setuju.

Syed Sadiq berkata memang ada yang mesti dijawab oleh perdana menteri apabila beliau kembali sihat. Kata beliau agak banyak kritikan yang legitimate berkenaan cara kerajaan menguruskan negara dan pelan pemulihan Tabung Haji tetapi beliau tidak setuju tanggungjawab 221 Ahli Parlimen yang sihat walafiat terhenti hanya kerana seseorang perdana menteri kurang sihat.

“Parlimen bukan one-man show, yang sakit perdana menteri tetapi yang tidak buat kerja kita pula, yang dibayar puluhan ribu ringgit gaji, pencen confirm dapat dan pada masa sama dapat macam-macam elaun hanya untuk memainkan peranan semak dan imbang tetapi kita gagal melaksanakan peranan tersebut,” kata Syed Saddiq.

Dengan memboikot sidang khas Tabung Haji wakil rakyat PN telah melepaskan peluang untuk berhujah mengenai pembelian saham Putrajaya Perdana oleh Tabung Haji yang berlaku ketika syarikat itu bawah kawalan Jho Low.

Juga dakwaan ada ramai ketua cawangan Umno dibawa ke Makkah secara percuma berkaitan pertandingan jawatan ketua bahagian Umno. Sekadar dua contoh pendedahan yang timbul di Dewan Rakyat.

Bertanya peguam Siti Kasim: “Kalau betul mahu kebenaran — mengapa keluar Dewan?”

Bagi saya apa yang dilakukan Ahli Parlimen PN was nothing more than political theatrics. Hiburan yang tidak menghiburkan, kelakar yang tidak kelakar, lucu yang tidak lucu.

Mereka wakil rakyat dan yang berlaku ialah wakil rakyat menyakiti rakyat. Kalau bukan semua, pasti majoriti. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.