Sebelum sign marriage contract, adakah Umno benar-benar nak menikah dengan PAS untuk duduk serumah dalam kerajaan federal?

Saya amat tertarik dengan kenyataan Hadi dari petikan suatu berita online tentang bagaimana rupanya pemerintahan federal di bawah PAS. Beliau tidak menyebut tentang polisi ekonomi, atau polisi pendidikan, atau polisi sumber manusia, atau polisi alam persekitaran atau polisi mitigasi banjir.
Sebaliknya yang beliau sebut adalah menteri-menteri di bawah PAS akan dibahagikan kepada menteri Islam dan menteri bukan Islam. Beliau memberi contoh bahawa menteri jaga hutan dan menteri buat jalanraya boleh diberikan kepada bukan Islam manakala menteri agama perlu bagi pada orang Islam.
Beliau rumuskan bahawa kepentingan Islam amat perlu dijaga apabila memilih portfolio dan menteri masing-masing supaya orang bukan Islam tak interfere dengan polisi tentang orang Islam.
Ada beberapa perkara yang saya nak bangkitkan perihal isu ini.
Pertamanya, sejak bila menteri agama diberikan kepada orang bukan Islam? Selama yang saya tahu sejak jawatan itu diwujudkan, belum ada lagi orang Kristian atau Buddha yang pegang portfolio demikian. Maka itu, apa bezanya polisi PAS dengan parti lain?
Yang kedua, kenapa Hadi bangkitkan dua portfolio sahaja sebagai contoh kementerian yang tak perlu ada dasar Islam? Adakah sebab dalam PN ada MIPP dan Gerakan? Maka itu ada seorang menteri India yang bakal menjaga hutan dan seorang menteri Cina yang bakal menjaga jalan raya?
Isu ketiga yang saya nak tanya pula adalah bagaimana Hadi boleh sifatkan yang hutan yang menjadi sebahagian dari alam persekitaran kita sebagai tiada aspek keislamannya? Bukankah dalam al-Quran Allah sentuh banyak tentang sungai, pokok, buah-buahan, bukit bukau untuk menggambarkan nikmatNya kepada manusia dan juga sebagai tanda kebesaran Allah?
Saya selalu bila bersyarah tentang senibina Islam, saya tidak sentuh pasal kubah, gerbang atau menara tetapi saya sering sentuh tentang alam persekitaran ciptaan Tuhan. Maka itu kalau ada arkitek seperti Frank Lloyd Wright yang memang mengagungkan nature, saya kata ini adalah sifat senibina Islam.
Kalau ada Japanese Garden atau Chinese Landscape yang begitu merangsang roh kita melihat dan mengalaminya, saya teringat ayat al-Quran. Bagi saya, National University of Singapore yang saya lawati kelihatan penuh dengan pokok dan kehijauan daun ciptaan Allah dan maka itu saya sifatkan ia adalah lebih Islamic dari kampus UIAM yang kekurangan pokok dan tumbuh-tumbuhan.
Isu keempat adalah menteri di Kementerian Kerja Raya yang boleh dinobatkan orang bukan Islam. Tetapi saya nak tanya Hadi bukankah kementerian itu bertanggungjawab membina sekolah, masjid, bangunan pentadbiran dan banyak lagi. Tidakkah bangunan-bangunan ini dihuni dan diguna oleh orang Islam juga secara majoritinya? Kalau begitu bagaimana dikatakan tiada langsung dasar Islam padanya?
Isu kelima adalah kementerian mana lagi yang ‘tak ada kena mengena dengan dasar Islam’? Terdapat 28 kementerian masa kini. Saya nak juga tahu kementerian mana lagi yang Hadi maksudkan untuk meletakkan orang bukan Islam? Sefaham saya kesemua kementerian memang ada dasar yang boleh dibuat berkait dengan orang Islam.
Semasa saya belajar tentang Islamic Reform, Islam itu Syumul dan bermaksud menyeluruh dan merangkumi semua. What happened to that concept? Adakah dua kementerian yang disebut Hadi itu saja yang akan diberikan kepada menteri bukan Islam?
Saya hendak tahu kementerian-kementerian mana lagi yang boleh dipimpin oleh non-Muslim dalam PN. Jawatan untuk presiden MIPP dan Gerakan nampak gayanya dah ada. Tahniah mereka berdua. Jawatan nak bagi MCA dan MIC bila bergabung dengan BN, nak letak kat mana?
Isu keenam adalah tentang style kepimpinan. Hadi berkata bahawa sebagai pemimpin individu itulah bertanggungjawab untuk membuat polisi. Saya rasa Hadi mungkin confuse kepimpinan professional dan kepimpinan kelas agama atau madrasah
Kepimpinan agama mungkin mengambil corak authoritarian atau konsep Tok Guru di mana individu itu berkuasa penuh dan orang lain tak boleh soal. Pengurusan professional mengambil pendekatan mendengar penasihat-penasihat dan juga pandangan-pandangan dalam mesyuarat sebelum mengambil keputusan untuk bertindak by consensus, by majority atau Chairman boleh mengambil keputusan unilateral atau ‘ikut cakap aku’.
Kalau menggunakan pendekatan pengurusan professional maka sesiapa pun boleh menjadi menteri, tidak perlu dari satu agama atau kaum. Kecualilah kementerian wanita dan keluarga, sebab ada perkataan wanita, maka kena lah bersifat gender centric.
Akhir sekali saya nak berpesan kepada Umno sebelum dia sign marriage contract. Adakah Umno benar-benar nak menikah dengan PAS untuk duduk serumah dalam kerajaan federal?
Kita dah nampak PAS punya cara mengurus negara dari kenyataan Hadi. Adakah Umno pun agak mengikut rentak beliau dalam mengisi individu dan portfolio kementerian nanti? Zahid dulu saya ingat dia seorang guru di Yayasan Anda. Bolehkah guru counter arahan ayahanda Tok Guru agama?
Bagi kita rakyat Malaysia, kena bersedialah untuk mempunyai kerajaan ala-madrasah untuk kita maju ke depan atau ke belakang. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.