Saturday, September 5, 2026

Kibar Jalur Gemilang dengan bangga, tapi peka tatacara

 Menteri Aaron Ago Dagang minta rakyat semak tatacara penggunaan Jalur Gemilang bagi memastikan lambang negara sentiasa dihormati.

aaron ago dagang
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang kata penghormatan terhadap Jalur Gemilang merupakan tanggungjawab bersama.
PETALING JAYA:
Rakyat diminta memahami, peka dan menyemak tatacara penggunaan Jalur Gemilang sebelum mengibarkannya bagi memastikan lambang negara sentiasa dihormati.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang kata Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan, maruah dan perpaduan negara yang wajib dihormati seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

“Jangan takut untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Kibar dengan bangga. Namun, sentiasalah faham, peka dan semak sebelum mengibarkannya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Aaron mengingatkan rakyat supaya menerapkan prinsip sama ketika menggunakan Jalur Gemilang di media sosial, termasuk dalam kandungan yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Katanya, teknologi AI boleh menghasilkan imej bendera yang tidak tepat, termasuk kesilapan pada bilangan jalur, susunan warna, bulan dan bintang atau kedudukan bendera, justeru setiap kandungan perlu disemak sebelum diterbitkan atau dikongsi.

Aaron berkata kesilapan yang tidak disengajakan sewajarnya dijadikan ruang untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat.

Tindakan sengaja menghina atau memperlekehkan lambang negara perlu ditangani berdasarkan undang-undang berkuat kuasa, tegasnya.

Aaron berkata penghormatan terhadap Jalur Gemilang merupakan tanggungjawab bersama dan menyeru rakyat menjadikannya simbol yang menyatukan Malaysia, serta mendidik generasi seterusnya untuk mencintai, menghormati dan mempertahankan maruah negara.

Kenyataan ini muncul menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September, yang memperingati pembentukan Malaysia pada 1963 membabitkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Jalur Gemilang tertakluk kepada Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar), yang antara lain memperuntukkan perbuatan seperti mengibarkan bendera secara terbalik sebagai kesalahan menghina bendera.

Pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Kementerian Perpaduan Negara menerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Sekretariat Rukun Negara akan mempertingkatkan pendedahan serta kesedaran masyarakat mengenai tatacara penggunaan dan pemasangan Jalur Gemilang yang betul.

“Pendekatan ini bukan hanya bertujuan mengelakkan kesilapan daripada berulang, malah membina kefahaman dan menyemarakkan semangat patriotisme, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Kibarkan Jalur Gemilang dengan bangga, hormat dan penuh tanggungjawab,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.