Sehari sebelum ucapan Hadi Awang, mood 'PAS menguasai semua' sudah dirasai pada muktamar Pemuda PAS.

Mujurlah Presiden Umno Zahid Hamidi tidak hadir pada majlis perasmian muktamar PAS semalam. Saya kata ‘mujur’ kerana jika beliau hadir beliau akan dengar ucapan dasar Presiden PAS Hadi Awang secara langsung. Loud and clear.
Mungkin Zahid akan merasa ‘disakiti’. Jika tidak sakit hati mungkin terkejut dan terperanjat kerana apa yang dilaungkan Hadi itu dilakukan ketika PAS sedang ghairah mahu jalin kerjasama dengan Umno, berlatarkan electoral pact yang berjaya di Johor dan Negeri Sembilan tempoh hari.
Lazimnya ucapan dasar presiden mana-mana parti politik akan disediakan awal dengan dibantu think tank masing-masing. Memanglah ucapan dasar presiden untuk ahli parti, but in this case pada hemat saya Hadi dan PAS ada nawaitu mahu sampaikan mesej direct ke muka Zahid. Ini kerana Hadi yakin Zahid akan hadir.
Presiden Umno dijangka hadir apabila PAS menghulurkan undangan. Saya kira Zahid sudah beri confirmation akan hadir. Jika tidak masakan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memberitahu muktamar kehadiran Zahid yang dinanti-nantikan terpaksa dibatalkan “pada saat akhir kerana urusan yang tidak dapat dielakkan”.
Mungkinkah Zahid sudah menghidu atau dapat info apa yang akan diucapkan Hadi? Wallahualam. Apa pun Asyraf Wajdi Dusuki si setiausaha agung Umno hadir mewakili Zahid. Tak tahulah saya sama ada berdesing telinga beliau mendengar ucapan Hadi.
At least this part of the Hadi speech: “Setiap kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang telah dimenangi pada PRU 15 wajib dipertahankan”. Perhatikan istilah yang Hadi gunakan yakni ‘wajib’. Bukan ‘seharusnya’ atau ‘perlu’ tetapi ‘wajib’ maka PAS akan bertanding di semua kerusi yang disandang. No two ways about it.
Kata Hadi lagi: “Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis (SG4) sebagai ‘negeri pangkalan’ mesti terus dikekalkan penguasaannya, diperkukuh pentadbiran serta dilaksana agenda Islam mengikut bidang kuasa negeri.”
That does not leave much for Umno-BN jika kerjasama dengan PAS dijalin. Sebenarnya sehari sebelum ucapan Hadi, mood ‘PAS menguasai semua’ sudah dirasai pada muktamar Pemuda PAS.
Umpamanya Ketua Pemuda PAS Kedah Ilyas Ahmad dipetik berkata usaha menyatukan umat Islam di peringkat persekutuan perlu dipimpin oleh PAS dan PAS juga tidak seharusnya lagi memberi laluan calon perdana menteri kepada parti lain. That is as clear as it can get. Beberapa perwakilan muktamar juga bercakap apa yang PAS mesti buat jika menang PRU16.
Kata Ketua Penyelidik Ilham Centre Yusri Ibrahim menerusi catatan di Facebook, penegasan PAS akan membuka episod baru dalam kebarangkalian kerjasama Umno-PAS menuju PRU16. Beliau ambil Terengganu sebagai contoh, “Jika PAS bertegas, hanya ada satu kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN berbaki untuk ditandingi oleh Umno jika kerjasama dimeterai. Tetapi semua kerusi tersebut disandang oleh Bersatu.”
Maka kata Yusri, “sudah tentu Wawasan akan bermatian menuntut dan mempertahankan kerusi tersebut kerana kepada Wawasan merekalah pewaris pusaka Bersatu dalam Perikatan Nasional.”
“Jika kerusi tersebut dibahagi sama rata, Umno Terengganu berpotensi bertanding sekitar tiga kerusi sahaja dalam PRU16 nanti. Inilah scenario awal yang boleh difahami.”
Itu belum lagi kita bercakap mengenai kerusi Parlimen dan DUN negeri-negeri lain.
Dalam pada itu, penganalisis James Chin dari Universiti Tasmania semalam dipetik FMT berkata Umno tampak cuba melemahkan perdana menteri meskipun berikrar menyokong Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal Parlimen.
“Mereka mengenakan tekanan kerana tidak mahu hilang momentum (setelah menang PRN Johor dan Negeri Sembilan bersama PN serta confident menang PRN Melaka kelak). Adakah Anwar akan tunduk? Saya rasa masih awal untuk bercakap mengenainya. Anwar juga sedang mengatur perikatan baharu tanpa Umno,” kata Chin.
Chin menjangkakan hubungan PH-BN akan semakin buruk sambil Umno terus berdolak dalik. Saya setuju dan tidak mungkin Anwar dan PH tidak perasan.
Berikutan ucapan Hadi semalam, Umno tertekan. Jika usul wajib berkait kerjasama dengan Umno diterima sebelum muktamar ditangguhkan hari ini, Umno tertekan juga tetapi saya tidak pasti adakah ia relevan memandangkan apa yang diucapkan Hadi yang saya sebut tadi.
Amat menarik apa agaknya reaksi Perhimpunan Agung Umno terhadap perkembangan di muktamar PAS. PAU akan berlangsung minggu depan yakni 9 hingga 12 September. Menarik juga kerana kepimpinan tertinggi PAS diundang ke upacara perasmian. Adakah Hadi akan hadir? Iya, kata Asyraf.
Menutup penulisan ini saya ulang apa yang pernah dinyatakan pada artikel terdahulu iaitu Umno sedang buat apa yang ia tuduh PAS buat dulu sehingga terkuburnya Muafakat Nasional. Apa yang PAS buat waktu itu? Bermain dua kolam, kata Umno. PAS berbaik dengan Umno dan pada masa sama berbaik-baik dengan Bersatu, musuh ketat Umno.
Sekarang Umno berbaik-baik dengan PH di peringkat persekutuan dan berbaik-baik dengan PAS di peringkat negeri sambil menyerang PH. Ertinya Umno main dua kolam.
Bagi saya sudah sudahlah main dua kolam. You can’t have your cake and eat it too. Itu kata omputih. Orang Melayu kata simple je: “jangan nak makan kelilinglah”. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.