Kementerian Luar berkata pasukan 11 anggota itu dilengkapi dron berkeupayaan tinggi serta peralatan khusus.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pasukan 11 anggota itu akan dilengkapi dron berkeupayaan tinggi serta peralatan khusus bagi menyokong operasi yang diketuai pihak berkuasa Nepal di kawasan yang memerlukan kepakaran teknikal dan keupayaan operasi khas.
“Penghantaran pasukan itu tertakluk kepada keperluan operasi dan tahap keselamatan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa seramai 55 rakyat Malaysia masih dilaporkan gagal dihubungi setakat hari ini.
Pasukan tambahan yang dikerahkan oleh kementerian berkenaan juga telah tiba di Kathmandu dan sedang membantu Kedutaan Besar Malaysia dalam menyelaraskan tindakan bersama pihak berkuasa Nepal berhubung usaha mencari serta mengenal pasti rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi.
“Ini termasuk penyelarasan penggunaan sampel DNA bagi tujuan pengecaman. Di Malaysia, persediaan berkaitan pengecaman sedang berjalan, merangkumi pengumpulan dan analisis sampel DNA daripada waris terdekat oleh polis dan Jabatan Kimia Malaysia, dengan kerjasama kementerian,” menurut kenyataan itu.
Ia berkata kementerian kekal berhubung secara langsung dengan keluarga dan terus menyalurkan maklumat terkini seiring dengan perkembangan usaha pencarian, pengesahan serta tindakan berkaitan.
“Maklumat berhubung kes individu terus disampaikan secara terus kepada keluarga, manakala perkembangan untuk makluman awam kekal tertumpu kepada maklumat sah yang boleh dikongsikan secara lebih luas,” katanya.
Kementerian itu memaklumkan pihaknya terus mengusahakan pengesahan menerusi saluran diplomatik dengan kerajaan China berhubung kemungkinan pertindihan laporan membabitkan rakyat Malaysia di Nepal dan Wilayah Xizang, China.
Menurutnya, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing kekal berhubung dengan pihak berkuasa China, manakala kementerian juga berurusan dengan Kedutaan China di Kuala Lumpur bagi mendapatkan penjelasan rasmi.
“Malaysia turut menyampaikan kesediaan untuk menyediakan kepakaran mencari dan menyelamat yang bersesuaian sekiranya bantuan sedemikian diperlukan oleh pihak berkuasa China,” menurut kenyataan itu.
Semalam, angka kematian akibat banjir kilat dan gelongsoran lumpur dahsyat pada 26 Ogos lalu di sempadan China-Nepal meningkat kepada 1,220 orang manakala hampir 4,762 orang termasuk 844 warga asing masih hilang, lapor Anadolu Ajansi memetik data rasmi terkini. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.