Walaupun PMKS dikecualikan daripada kenaikan gaji minimum, Presiden Samenta William Ng berkata, langkah itu penting bantu PMKS kekalkan bakat terbaik, tenaga kerja berdedikasi.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) William Ng berkata, langkah itu penting bagi membantu PMKS mengekalkan bakat terbaik selain membentuk tenaga kerja yang setia dan berdedikasi.
“(Langkah menawarkan gaji kompetitif) mampu memangkin daya saing perniagaan untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata, PMKS dikecualikan daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini.
Katanya, keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri selepas mengambil kira tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa dihadapi syarikat-syarikat itu.
Mengulas pengecualian itu, Ng berkata, keputusan kerajaan itu berupaya memelihara kelangsungan kira-kira 1.3 juta PMKS di seluruh negara, terutama ketika sektor berkenaan berdepan peningkatan kos operasi, margin keuntungan yang semakin mengecil serta ketidaktentuan ekonomi global.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan gaji yang mampan perlu berlandaskan penciptaan nilai dan peningkatan produktiviti, selaras dengan tumpuan kerajaan terhadap Dasar Gaji Progresif.
“Sementa menyokong penuh tumpuan strategik kerajaan terhadap Dasar Gaji Progresif sebagai pendekatan terbaik ke hadapan,” katanya.
“Melalui sokongan terhadap pertumbuhan produktiviti pada peringkat firma dan pekerja, kemakmuran ekonomi dapat dikongsi secara lebih saksama antara majikan dan tenaga kerja.”
Beliau turut menyarankan kerajaan agar bekerjasama rapat dengan persatuan industri bagi menyediakan modul latihan bersasar dan praktikal kepada PMKS untuk membantu meningkatkan produktiviti.
Katanya, kerajaan perlu terus menangani kos overhed struktur termasuk kos pematuhan, beban kawal selia, logistik dan utiliti, selain memperluas akses PMKS kepada kemudahan pembiayaan modal kerja berkadar faedah rendah.
Pada 18 Ogos lepas, Menteri Sumber Manusia R Ramanan berkata, kerajaan sedang menyemak semula kadar gaji minimum RM1,700, dengan keputusan untuk mengekalkan atau menaikkan kadar itu akan dibuat Majlis Perundingan Gaji dan Gig Negara.
Katanya, semakan itu mengambil kira pendapatan garis kemiskinan, gaji penengah, indeks harga pengguna, produktiviti buruh dan kadar pengangguran.
Kadar gaji minimum RM1,700 dikuatkuasakan sejak Ogos 2025 dan terpakai bagi semua pekerja di Malaysia kecuali pembantu rumah dan perantis. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.