Daerah itu merekodkan bacaan IPU 218, manakala 11 kawasan lagi mencatatkan tahap tidak sihat melibatkan 10 kawasan di Sarawak dan satu di Johor.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), daerah itu merekodkan bacaan IPU 218, manakala 11 kawasan lagi mencatatkan tahap tidak sihat melibatkan 10 kawasan di Sarawak dan satu di Johor iaitu Pasir Gudang (109).
Kawasan di Sarawak yang mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Samarahan (186), Sri Aman (184), Kuching (180), Sarikei (160), Samalaju (158), Bintulu (157), Sibu (156), Mukah (154), Miri (152) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (136).
Secara keseluruhan, 47 kawasan di seluruh negara dilaporkan berada pada tahap sederhana, manakala sembilan kawasan mencatatkan bacaan baik.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC) semalam, sebanyak 66 titik panas direkodkan di Kalimantan serta 42 di Sumatera, Indonesia berserta tompokan jerebu sederhana hingga tebal di kedua-dua wilayah itu dan tiada titik panas dikesan di Malaysia.
Beliau berkata JAS akan memberi perhatian terhadap kejadian kebakaran di beberapa kawasan di Sarawak dan Johor, khususnya melibatkan kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah, berikutan risiko kebakaran yang lebih tinggi dalam keadaan cuaca panas dan kering.
“Kebakaran di kawasan berkenaan berpotensi menghasilkan asap dan pelepasan bahan pencemar yang boleh menjejaskan kualiti udara setempat sekiranya tidak dikawal,” katanya.
Azuri Azizah berkata di Sarawak, kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Selalang, Sarikei melibatkan kawasan seluas 1.5 hektar dan sehingga hari ini kira-kira satu hektar (67%) telah berjaya dipadamkan, manakala baki 0.5 hektar masih terbakar dan dalam tindakan pemadaman.
Beliau berkata di Johor pula kebakaran tanah gambut di sekitar Tanah Perkuburan Cina Bukit Pelali dan Jalan Bypass Sebana Cove–Punggai, Kota Tinggi melibatkan kawasan seluas 17 hektar dan setakat hari ini, 14.8 hektar (87%) telah berjaya dipadamkan, manakala baki 2.2 hektar masih dalam tindakan pemadaman.
“Kebakaran tanah gambut di Kampung Sungai Buntu, Pengerang, Kota Tinggi melibatkan kawasan seluas 10.12 hektar telah berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya sambil menambah JAS Sarawak dan Johor akan terus melaksanakan pemantauan di lokasi kebakaran, termasuk menggunakan dron.
Azuri Azizah berkata JAS akan terus mempertingkatkan pemantauan terhadap aktiviti pembakaran terbuka yang berisiko menjejaskan kualiti udara, selain menggerakkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) bersama-sama agensi berkaitan bagi memantau dan menangani situasi dari semasa ke semasa. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.