PAS dengan bilangan kerusi lebih besar belum tentu terima konsep 'Rumah Bangsa' jika bermaksud perlu berada bawah kepimpinan Umno, kata penganalisis.

Tawfik Yaakub daripada Universiti Malaya berkata Umno dengan 26 kerusi Parlimen hanya berupaya berunding dan tidak membolehkan parti itu menentukan kerangka kerjasama, walaupun Umno masih berpengaruh.
“PAS mempunyai lebih banyak kerusi dan kekuatan tersendiri di negeri-negeri majoriti Melayu. PAS mungkin bersetuju dengan agenda penyatuan Melayu-Islam tetapi belum tentu menerima konsep ‘Rumah Bangsa’ jika bermaksud semua pihak perlu berada di bawah kepimpinan Umno,” katanya kepada FMT.
Sekiranya agenda itu dibincangkan dengan Pakatan Harapan, Tawfik berkata gabungan itu pula bersifat pelbagai kaum dan lebih cenderung kepada pendekatan politik yang inklusif.
“Maka saya lihat gagasan tersebut perlu dibentuk melalui rundingan bersama dan bukan ditetapkan secara sepihak oleh Umno,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Mohamad Hasan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 pada Rabu, bahawa sebarang kerjasama politik Melayu perlu berasaskan semangat dan aspirasi ‘Rumah Bangsa’, mengatakan kerjasama yang tidak dimeterai berlandaskan visi berkenaan tidak akan memberi manfaat kepada Umno.
Beliau menegaskan kerjasama itu mesti dinaungi oleh Umno, mesti menjadikan Umno itu asas, tiang seri dan prinsip utuh yang mengikat semua kepentingan Melayu; dan Umno mahu terus menjadi payung kepada usaha menyatukan Melayu.
Tawfik berkata Umno perlu menjelaskan maksud sebenar ‘Rumah Bangsa’, sama ada penyatuan bekas ahli parti, kerjasama pilihan raya antara parti Melayu, atau usaha mengembalikan Umno sebagai parti induk orang Melayu.
“Tanpa penjelasan yang jelas, gagasan itu boleh dilihat sekadar usaha untuk mengembalikan dominasi dan memberikan kelebihan kepada Umno,” katanya.
Beliau berkata Muafakat Nasional membuktikan sentimen penyatuan Melayu tidak mencukupi, dan meragui kerjasama jangka panjang dalam politik Malaysia yang ‘cair’ dan fleksibel kini.
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah berkata tuntutan supaya kerjasama berasaskan ‘niat ikhlas’ perlu diterjemahkan dalam bentuk persetujuan jelas, perkongsian kuasa yang adil dan komitmen timbal balik.
Beliau mengingatkan bahawa setiap parti mempunyai kepentingan masing-masing, dan berkata meletakkan ‘Rumah Bangsa’ sebagai syarat mutlak kerjasama menyerupai tuntutan supaya parti lain bernaung bawah Umno.
“Selagi gagasan itu meletakkan Umno sebagai penaung dan penerima manfaat utama, ia akan dilihat sebagai usaha memulihkan dominasi Umno, bukannya membentuk penyatuan yang setara,” katanya kepada FMT. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.