Sunday, September 13, 2026

Umno mahu kebebasan bangkit semula sebelum bentuk pakatan PRU16, kata penganalisis

 Dengan mengekalkan pilihan terbuka, Umno boleh merancang untuk memulihkan sokongan pengundi sebelum terikat dalam pakatan politik.

umno logo resize 17825
Pemimpin Umno berkata membentuk pakatan politik dengan parti lain akan melenyapkan kuasa tawar-menawarnya dan sukar dilaksanakan di semua negeri.
PETALING JAYA:
Penganalisis berpendapat Umno sengaja mengelak membentuk pakatan politik menjelang PRU16 untuk membina semula kedudukan pilihan rayanya sebelum terikat dengan gabungan yang mungkin mengehadkan ruang rundingan kelak.
Awang Azman Pawi
Awang Azman Pawi.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, jika membentuk pakatan terlalu awal, Umno berisiko terperangkap dalam agihan kerusi yang tidak mencerminkan kekuatan sebenarnya dan menyebabkan “kebergantungan politik” kepada sekutu berbanding memaksa diri membina semula asas sokongan Melayu.

“Strategi jangka panjang Umno perlu mengembalikan nilai pilihan rayanya sebagai parti tunggal supaya parti lain mahu bekerjasama dengan Umno disebabkan kekuatannya, bukan kerana terpaksa,” katanya kepada FMT.

Jelasnya, Malaysia mempunyai “politik negeri tidak seragam” yang menjadikan pakatan dibentuk lebih awal sukar dilaksanakan di semua negeri.

“Formula Umno–PAS mungkin berdaya saing di negeri tertentu, tetapi ia akan menyukarkan Umno menembusi kerusi campuran atau mengekalkan hubungan dengan parti di Sabah dan Sarawak.”

Hisomuddin Bakar
Hisomuddin Bakar.

Ketua Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata pakatan politik akan menutup ruang diperlukan Umno untuk membina semula pengaruhnya di kerusi majoriti Melayu, kebanyakannya kini dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Katanya, tanpa bukti jelas sokongan terhadap Umno telah pulih, parti itu mungkin menyertai rundingan agihan kerusi dalam kedudukan lemah.

“Di kawasan yang tidak ditandinginya, jentera parti berisiko kehilangan fungsi, menjadi semakin lemah dan gagal melahirkan kepimpinan baharu.”

Mereka mengulas gesaan pemimpin parti itu di Perhimpunan Agung Umno supaya ia tidak dibatasi pakatan politik.

Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan, menegaskan sebarang bentuk kerjasama politik demi perpaduan Melayu mesti kekal fleksibel dan Umno tidak perlu menjadi sebahagian daripada gabungan politik baharu, sebaliknya akan terus berada dalam Barisan Nasional (BN) “sekarang dan selama-lamanya”.

Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambrose, dilaporkan berkata Umno tidak patut terikat dengan parti lain di peringkat negeri atau persekutuan selepas PRU16 kerana akar umbi Melayu masih tidak berpuas hati dengan susunan kerajaan perpaduan yang dibentuk bersama Pakatan Harapan selepas PRU15.

Tetapi, Hisommudin berkata, kenyataan dua pemimpin itu perlu ditafsir sebagai usaha mengembalikan autonomi Umno dalam kerangka sedia ada, bukannya menolak politik gabungan secara menyeluruh.

Katanya, Umno masih boleh bekerjasama dengan parti lain untuk memenuhi keperluan politik segera, tetapi kerjasama itu tidak patut menjadi “talian hayat” yang menentukan kelangsungan parti.

Jelasnya, Umno perlu memulihkan kekuatan asalnya sebagai platform utama politik Melayu terlebih dahulu, dengan jentera menyeluruh dan hubungan langsung dengan rakyat.

“Selepas berjaya mendapatkan kembali sokongan besar, meluas dan dapat diukur, Umno akan mempunyai kebebasan untuk menentukan bentuk kerjasama politik paling menguntungkan.”

Awang Azman menyifatkannya konsep “fleksibiliti strategik” yang dibawakan Mohamad: Umno tetap bersama BN, tetapi ia boleh menjalin persefahaman secara berasingan dengan parti lain bergantung kepada negeri, pilihan raya dan faktor kestabilan kerajaan.

Hisommudin berkata, kenyataan itu tidak patut ditafsir sebagai keresahan Umno terhadap kerjasama dengan PAS demi “penyatuan ummah”.

“Penyatuan ummah boleh terus diteroka, tetapi Umno mahu memastikan identitinya, autonomi dan kepentingan strategiknya tidak terhakis.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.