Presiden Umno itu berkata parti itu hormati sepenuhnya prerogatif Yang di-Pertuan Agong serta proses yang ditetapkan berhubung perkara itu.

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata parti itu menghormati sepenuhnya prerogatif Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta proses yang ditetapkan berhubung perkara itu.
“Kita menjunjung kasih dan menghormati sepenuhnya proses serta hak mutlak atau prerogatif Yang Di-Pertuan Agong dalam hal ini. Umno akur bahawa perkara ini belum dapat diselesaikan pada ketika ini.
“Kita akan terus menghormati segala proses yang telah ditetapkan. Namun dengan penuh takzim, Umno terus menaruh harapan agar pada mesyuarat gabungan yang akan datang, permohonan Najib Razak dapat dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno.
“Umno menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku dengan penuh hormat kepada institusi raja dan keluhuran perlembagaan.”
Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan semalam memutuskan untuk menangguhkan permohonan pengampunan Najib.
Dalam kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, dimaklumkan bahawa Sultan Ibrahim berkenan permohonan tersebut ditangguhkan ke mesyuarat akan datang.
Pada mesyuarat sama, Sultan Ibrahim turut berkenan membebaskan 65 banduan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.