Saturday, September 12, 2026

Usia BO-105 bukan penentu tunggal keselamatan, kata pakar

 Pesawat usia 30 hingga 40 tahun masih selamat beroperasi jika penggantian komponen serta rekod teknikalnya penuhi piawaian.

Empat kakitangan Perkhidmatan Doktor Udara dan seorang juruterbang terkorban dalam nahas pada 8 Sept. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Usia helikopter BO-105 bukan penentu tunggal kelayakan dan keselamatan penerbangannya, kata pakar pengangkutan, Rosli Khan.

Beliau berkata, pesawat berusia 30 hingga 40 tahun masih selamat beroperasi sekiranya penyelenggaraan dan penggantian komponen dilakukan mengikut keperluan ditetapkan.

“Pesawat berusia 30–40 tahun masih boleh beroperasi dengan selamat sekiranya penyelenggaraan, pemeriksaan, penggantian komponen dan rekod teknikalnya memenuhi semua keperluan yang ditetapkan.

“Namun, usia tetap faktor yang wajar diberi perhatian kerana semakin lama sesebuah pesawat beroperasi, semakin penting pemeriksaan yang lebih rapi diperlukan,” katanya kepada FMT.

Rosli Khan
Rosli Khan.

Rosli mengulas seruan Senator RA Lingeshwaran turut membangkitkan berkenaan jangka hayat pesawat terbabit yang berusia kira-kira 35 tahun, selain pernah beroperasi di bawah pendaftaran di Jerman, Amerika Syarikat, dan Afrika Selatan sebelum digunakan di Malaysia.

Dalam nahas 8 Sept, helikopter BO-105 yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Miri ke Long Lellang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek Long Lellang, mengorbankan empat kakitangan Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) dan seorang juruterbang.

Kelmarin, Layang Layang Aerospace secara sukarela menggantung sementara perkhidmatan helikopter BO-105 serta pesawat lain yang dilengkapi enjin Rolls-Royce 250 susulan nahas.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Norazman Mahmud, berkata langkah penggantungan itu merupakan tindakan pencegahan keselamatan diambil sendiri pihak pengendali, dan bukannya petanda kemalangan itu disebabkan kerosakan enjin atau teknikal.

Biar BSKU siasat, ahli politik usah campur tangan

Sementara itu, seorang pakar penerbangan yang enggan dikenali, berkata usia pesawat tidak sepatutnya dijadikan alasan selain menyeru ahli politik tidak membuat kesimpulan awal.

Katanya, setiap pesawat mempunyai program penuaan bagi memastikan ia terus memenuhi keperluan keselamatan sepanjang tempoh operasinya.

“Pesawat boleh terus beroperasi tanpa mengambil kira usia tepatnya kerana setiap pesawat mempunyai program penuaan. Namun, pengoperasian pesawat yang sudah berusia memerlukan penyelenggaraan yang lebih ketat dan menyeluruh,” katanya.

“Biarlah Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) menjalankan siasatan. Ahli politik tidak sepatutnya campur tangan kerana ia boleh menyebabkan agensi penyiasatan Malaysia dilihat tidak bebas.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.