Sunday, September 6, 2026

Zahid beri bayangan sambung ‘gelombang biru’ di Melaka

 Pengerusi BN berkata mood gelombang itu di Melaka dimahukan anak muda dan keseluruhan pengundi di negeri berkenaan.

Ahmad Zahid Hamidi
Sebelum ini, Pengerusi BN Zahid Hamidi, berkata kerjasama gabungan berkenaan dengan mana-mana gabungan berdepan PRN Melaka hanya akan diputuskan selepas DUN dibubarkan.
PETALING JAYA:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) membayangkan persefahaman gabungan itu bersama Perikatan Nasional (PN) yang disebutnya sebagai ‘gelombang biru’ akan diteruskan pada PRN Melaka.

Zahid yang juga presiden Umno, berkata ia mengambil kira mood ‘gelombang biru’ yang dimahukan anak muda termasuk keseluruhan pengundi di negeri berkenaan.

“Apabila tiba hari besar (hari mengundi) yang menentukan masa depan Melaka, jangan lupa bahawa gelombang biru yang pernah berlaku di Johor, berlaku di Negeri Sembilan, insya-Allah gelombang biru itu akan berada di Melaka juga,” katanya menurut Berita Harian di Ayer Keroh.

Beliau dilapor berkata demikian ketika menutup Karnival Anak Muda Melaka X Jom Heboh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, yang turut dihadiri Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.

Pada 31 Ogos, Zahid menyatakan kerjasama BN dengan mana-mana gabungan berdepan PRN Melaka hanya akan diputuskan selepas DUN dibubarkan.

Hari ini, beliau yang juga timbalan perdana menteri menepis dakwaan hubungannya dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semakin tegang, sebaliknya berkata hubungan mereka kekal baik.

Zahid mengulas laporan Bloomberg memetik sumber sebagai berkata, hubungan beliau dan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu semakin tegang menyebabkan mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini terpaksa ditamatkan lebih awal. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.