Monday, October 5, 2026

25 individu diambil keterangan berkait kes AKPS

 Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata rakaman CCTV turut diambil bersama laporan doktor bagi memastikan semua perkara berkaitan diteliti.

Tangkap layar video tular memaparkan individu mirip Ketua Pengarah AKPS Shuhaily Mohd Zain kelihatan memarahi individu lain.
KUALA LUMPUR:
Polis mengambil keterangan 25 individu berhubung kejadian membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Shuhaily Mohd Zain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Khalid Ismail, berkata polis turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan doktor bagi memastikan semua perkara berkaitan kes itu disiasat teliti.

Beliau pada masa sama menyeru masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan spekulasi yang timbul berhubung kejadian berkenaan.

“Jadi, saya menyeru kepada masyarakat di luar sana jangan terlalu terikut-ikut dengan spekulasi yang timbul,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Panduan Jururunding Polis, di Mes Pegawai Bukit Aman.

Mengulas penugasan Pegawai Kawalan Perjalanan (TCO) di bawah Cawangan Khas, Khalid berkata, tugas rasmi pegawai berkenaan adalah mendapatkan maklumat risikan, menjalankan aktiviti risikan serta melaksanakan kawalan keselamatan di lapangan.

Beliau berkata, perkara itu merupakan tugas biasa dilaksanakan pegawai serta anggota dan berharap penugasan berkenaan tidak disalahertikan, sementara siasatan terperinci dijalankan.

Mengenai kemungkinan berlaku pelanggaran SOP ketika kejadian, beliau berkata, perkara itu masih belum dapat dipastikan kerana memerlukan siasatan lanjut.

“Dari segi kebiasaannya, ia tidaklah melanggar apa-apa SOP tetapi mungkin ada perkara-perkara di dalam bangunan TCO itu sendiri ataupun di bangunan KLIA itu memerlukan pelaksanaan tugasnya dalam bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, polis akan meneliti perkara tersebut secara terperinci sebelum melengkapkan kertas siasatan untuk dikemukakan kepada pihak Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

Sementara itu, dua pegawai yang terlibat dalam kejadian berkenaan masih menjalankan tugas seperti biasa, sementara siasatan polis diteruskan.

Sebelum ini, media melaporkan Shuhaily menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan mungkin dikenakan susulan video tular yang memaparkan dirinya memarahi seorang individu di KLIA Terminal 1.

Shuhaily berkata, perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan serta Kementerian Dalam Negeri dengan beliau bersedia menerima sebarang keputusan berhubung isu tersebut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.