Tuesday, October 13, 2026

Adly belum mampu tandingi aura Rauf, kata penganalisis

 Tawfik Yaakub berkata PH perlu menyatukan jentera, muktamad rundingan kerusi dan menawarkan agenda mampu menarik sokongan pengundi.

Penganalisis berkata walaupun Adly Zahari pilihan munasabah PH Melaka, Ab Rauf Yusoh daripada BN dilihat lebih menonjol dan popular dalam kalangan rakyat negeri itu.
PETALING JAYA:
Adly Zahari yang diketengahkan sebagai ‘poster boy’ Pakatan Harapan (PH) bagi PRN Melaka belum mampu menandingi aura dan karisma Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh, kata penganalisis politik.
Tawfiq Yaakub
Tawfik Yaakub.

Tawfik Yaakub daripada Universiti Malaya berkata, walaupun Adly pilihan munasabah dalam kalangan pemimpin PH Melaka, Rauf daripada Barisan Nasional (BN) dilihat lebih menonjol dan popular dalam kalangan rakyat negeri itu.

“Bagi saya boleh namakan ‘poster boy’ tetapi jangan beria-ia sangat kerana PH masih tidak mampu menyaingi BN,” katanya kepada FMT.

Semalam, Timbalan Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Hayatul Kamil, mencadangkan Adly yang juga pengerusi PH Melaka diketengahkan sebagai ‘poster boy’ dan calon ketua menteri gabungan itu.

Cadangan itu dibuat ketika timbul spekulasi PH mungkin memilih pemimpin PKR sebagai ‘poster boy’ dan calon ketua menteri bagi menghadapi PRN Melaka 14 Nov ini.

Hayatul berpandangan, pengalaman Adly yang juga bekas ketua menteri, mentadbir Melaka dan kedudukannya dalam kerajaan persekutuan sebagai timbalan menteri pertahanan menjadi asas kukuh untuknya dipertimbangkan bagi peranan itu.

Tawfik berkata, PH masih perlu menyatukan jentera pilihan raya, memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi dan menawarkan agenda yang mampu menangani isu harian pengundi.

Katanya, penentuan ‘poster boy’ penting bagi menunjukkan PH mempunyai pemimpin yang berpotensi menerajui kerajaan negeri jika memenangi pilihan raya.

“Kalau tiada ‘poster boy’, nanti orang akan kata PH tidak mempunyai pemimpin yang boleh menjadi ketua menteri,” katanya.

Mazlan Ali
Mazlan Ali.

Bagaimanapun, Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia menyifatkan Adly calon paling sesuai untuk peranan itu berdasarkan pengalaman dan karismanya.

Katanya, Adly menjadi ketua menteri Melaka dari 2018 hingga 2020 dan melaksanakan beberapa pembaharuan, khususnya dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Adly juga dikenali sebagai ketua menteri yang mesra rakyat dan digemari masyarakat,” katanya.

Mazlan berkata, Adly turut berjaya mempertahankan DUN Bukit Katil pada PRN Melaka 2021 sebelum memenangi kerusi Parlimen Alor Gajah pada PRU15. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.