Penyandang kerusi itu berkata PH tidak boleh ambil mudah ramalan penganalisis berhubung kawasan itu berisiko kalah pada PRN Melaka.

Kerk selaku Adun Ayer Keroh sejak 2018 sehingga DUN dibubarkan bulan lalu, berkata Pakatan Harapan (PH) tidak boleh memandang ringan sebarang ramalan atau ancaman lawan, pada PRN Melaka akan datang.
“Betul, saya mengakui DUN Ayer Keroh antara kerusi bahaya bagi PH dan DAP.
“Sebenarnya, sejak dulu lagi, DUN Ayer Keroh bukan kerusi selamat bagi DAP,” katanya kepada FMT.
Pada PRN Melaka 2021, Kerk menang Ayer Keroh dengan majoriti 5,624 undi, menumbangkan wakil Perikatan Nasional (PN) Michael Gan yang meraih 2,479 undi, manakala wakil Barisan Nasional (BN) Yong Fun Juan mendapat 3,835 undi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan penganalisis politik Ong Kian Ming berhubung dua kerusi PH yang berkemungkinan tewas ialah Bukit Katil, disandang bekas ketua menteri, Adly Zahari, dan Ayer Keroh yang dianggap kubu kuat DAP.
Dalam pada itu, Kerk berkata ketika pertama kali bertanding pada PRU14 pada 2018, BN baru sahaja melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya, yang menurutnya bertujuan merampas Ayer Keroh daripada DAP.
Beliau turut mengimbas cabaran pada PRN 2021 apabila berdepan dua calon ‘heavyweight’ daripada MCA dan Gerakan.
Katanya, calon MCA ketika itu merupakan setiausaha hal ehwal masyarakat Cina kepada ketua menteri Melaka, manakala calon Gerakan ialah pengerusi parti itu di peringkat negeri.
“Jadi, saya sedar bahawa perjalanan kali ini bukan mudah,” katanya.
Kerk berkata kerjasama PAS dan Umno yang disifatkannya menggunakan retorik perkauman tanpa menawarkan penyelesaian substantif terhadap isu rakyat boleh memberi kesan kepada kawasan pengundi campuran seperti Ayer Keroh.
Beliau berkata, prestasi pilihan raya tidak seharusnya dinilai berdasarkan ramalan penganalisis semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira komitmen dan khidmat kepada masyarakat.
“Bagi saya, yang penting bukan sekadar apa yang diramalkan oleh penganalisis, tetapi sejauh mana kita membuktikan komitmen kita melalui usaha serta khidmat kepada masyarakat sepanjang lapan tahun yang lalu,” katanya.
Pengundi Melaka akan mengundi pada 14 Nov. Setakat ini, belum ada pakatan yang diumumkan secara rasmi bagi PRN itu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.