Menyelami kehidupan pesalah juvana, seorang pensyarah mendapati ramai penghuni Sekolah Henry Gurney memikul luka emosi yang tak pernah benar-benar dirawat.

Menurut Sharina, remaja itu antara 10 penghuni yang diselidiki dalam kajian PhD beliau mengenai intervensi psikologi ke atas pesalah juvana.
“Sepanjang dia berada di situ, ibunya banyak kali datang menjenguk, tetapi dia enggan berjumpa.
“Beberapa minggu selepas menjalani sesi terapi, saya dimaklumkan dia mahu berjumpa dan akhirnya memeluk ibunya,” katanya kepada FMT tanpa mendedahkan butiran kes atas faktor kerahsiaan.

Pandangannya terhadap penghuni SHG berubah sebaik melangkah masuk ke sekolah itu buat kali pertama pada 2016.
Mengakui gementar apabila kali pertama melalui pemeriksaan keselamatan dan pintu besi tinggi, apa yang menanti langsung berbeza daripada sangkaan Sharina.
Ratusan penghuni perempuan berbaris menyambutnya dengan ucapan selamat pagi. Ada yang menghulurkan salam, malah ada yang memeluknya.
“Saya tengok muka mereka biasa saja. Cantik-cantik dan sopan. Pelukan mereka pula saya masih ingat sampai sekarang. Macam seorang anak yang sudah lama sesat.
“Orang luar selalu gelar mereka budak jahat atau budak bermasalah. Tapi bila saya masuk, saya nampak mereka cuma anak-anak,” cerita Sharina.
Sepuluh penghuni dipilih untuk mengikuti sesi intervensi secara berkala, dengan fokus untuk memahami luka yang terpendam.
Sharina menyediakan diari untuk mereka. Pada awalnya, kebanyakan catatan dipenuhi gambaran keganasan, kemarahan dan kebencian. Namun sedikit demi sedikit, isi diari berubah.
“Minggu-minggu terakhir, mereka mula menulis tentang masa depan dan apakah rancangan selepas keluar dari sekolah itu.
“Perubahan itu turut disedari pengurusan tertinggi sekolah dan mereka meminta saya kembali ke sana selepas selesai pengajian PhD saya, untuk membantu lebih ramai anak-anak yang terluka di sana,” katanya yang sedang menyiapkan kertas kerja untuk kembali ke sekolah itu.
Daripada benci kepada maaf
Sharina berkata, modul terapi ini bertujuan membantu penghuni melihat semula trauma yang mereka alami daripada sudut berbeza, dan ia dilaksanakan hanya apabila ia melepasi saringan pelbagai pihak.
“Sebelum sesi terapi, pelajar itu mahu bunuh ibunya, tapi kita guna beberapa teknik dan sekarang dia lihat ‘oh, ada sebab kenapa mak aku buat begitu’. Saya lega bila dengar pelajar itu mula peluk ibunya,” katanya yang berjaya menghabiskan pengajian kedoktorannya pada 2020.
Bagi Sharina, perubahan itu bukan sekadar kisah seorang anak memaafkan ibunya. Ia membuka jendela kepada satu hakikat yang sering terlepas pandang masyarakat — di sebalik penampilan pesalah-pesalah juvana ini, ada luka emosi yang tidak pernah benar-benar dirawat.
“Dalam pemerhatian saya, ramai daripada mereka datang dengan luka yang berpunca daripada rasa kurang kasih sayang, kurang perhatian atau konflik keluarga”.
Sharina turut berkongsi kisah seorang penghuni berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia, kemudian menyambung pengajian dalam bidang psikologi kerana mahu membantu individu lain melalui pengalaman sama.
Ia bukti seseorang boleh berubah apabila diberi ruang dan dibimbing, kata Sharina.
“Saya dijemput oleh pihak penjara menghadiri anugerah kecemerlangan pelajar ini sebagai wakil keluarga. Saya melihat dia menerima ‘scroll’, dia turun dari pentas dan peluk saya.
“Inilah yang saya impikan sejak kali pertama jejak kaki ke sekolah itu”.
Bagi Sharina, cabaran sebenar bukan ketika mereka berada di SHG, tetapi apabila melangkah keluar dan berdepan stigma masyarakat.
“Kalau kita yang dewasa pun mengharapkan peluang kedua apabila melakukan kesilapan, kenapa begitu sukar menerima anak-anak ini?”.
SHG merupakan sekolah pemulihan akhlak dan pendidikan di bawah pengurusan Jabatan Penjara, yang menyediakan pendidikan formal kepada juvana dalam proses pemulihan, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Ia mempunyai sekolah di Melaka (Telok Mas), di Sabah (Keningau dan Kota Kinabalu), dan di Sarawak (Puncak Borneo). - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.