Tuesday, October 13, 2026

Dunia ini penjara berhantu

 Telah kita pelajari di dalam kitab al-Quran manusia adalah sebaik-baik kejadian dan makhluk terbaik ini jugalah yang sedang menghancur-musnahkan dunia.

ronasina

Dunia ini umpama sebuah penjara yang besar dan dipenuhi dengan segala macam hantu. Itu agaknya yang cuba disampaikan oleh Joko Anwar melalui filem arahannya, Ghost in the Cell. Saya tidak tahu apa genre paling tepat untuk filem ini. Komedi seram absurd barangkali tetapi dalam komedi ada serius dan misteri, ada keganasan, ada aksi ala kartun. Semuanya bercampur, mencetuskan kecelaruan. Joko mungkin mahu menyatakan yang hidup ini beginilah, penuh dengan kecelaruan ragam dan identiti. Malah ada babak yang mengarut sehingga saya teringat filem Kung Fu Hustle arahan Stephen Chow.

Filem Ghost in the Cell ini turut menampilkan dua nama dari Malaysia, Bront Palarae yang memegang watak Jefry, seorang pegawai penjara dan Ho Yuhang sebagai Rendra, seorang banduan yang merupakan ketua sindiket dadah. Ho yang lebih dikenali sebagai pengarah filem membawakan watak penjenayah bertubuh kecil tetapi cukup digeruni.

Cerita bermula dengan Dimas (Endy Arfian), seorang wartawan yang dituduh membunuh ketuanya lalu dihumban ke penjara Labuhan Angsana. Di situ dia bertemu pelbagai jenis manusia, termasuk Anggoro (Abimana Aryasatya), seorang banduan yang sering membela orang lain walaupun tindakannya menyebabkan hukuman penjaranya bertambah. Watak Anggoro memperlihatkan satu paradoks. Dia memang pesalah di sisi undang-undang tetapi masih mempunyai rasa kemanusiaan yang tinggi. Sebaliknya, ketua penjara yang diberikan kuasa menjaga undang-undang pula bersifat binatang atau hantu dalam mengejar pangkat dan kedudukan.

Di penjara itu juga ada Tokek (Aming), banduan ganas yang menjadikan keganasan seksual sebagai alat menakutkan orang lain. Dimas yang baru masuk penjara menjadi sasarannya. Tokek mewakili manusia buas dan gemar membuli orang yang lebih lemah. Melihatkan wajahnya sahaja sudah cukup membuat kita menggeletar. Bagaimanapun, dia mati akhirnya setelah gagal mempertahankan diri apabila berhadapan dengan hantu yang ternyata lebih perkasa. Tokek adalah gambaran manusia yang sebenarnya tidaklah kuat mana tetapi hanya berani kerana dia tahu pihak yang dibuli itu sudah sememangnya penakut. Dia memanipulasi keadaan.

Apa yang menarik perhatian saya ialah cara hantu dalam filem ini membunuh mangsanya. Mayat mangsa disusun dan digubah seakan sebuah arca seni. Ini bagai satu metafora yang menarik. Ia tentang kita yang kadangkala menggambarkan keindahan dengan mempergunakan penderitaan orang lain. Arca memanglah cantik dan hebat tetapi ia dibuat menggunakan mayat yang penuh darah dengan isi perut yang terburai, biji mata terkeluar dan sendi yang patah. Manusia begitulah, mempergunakan hidup pihak lain demi mencari keuntungan dengan menjual gossip dan fitnah, hiburan atau berita buruk tentang mereka. Dan kita gembira menikmati keindahannya sebagai bahan tontonan tanpa mempedulikan kesengsaraan di sebaliknya.

Lebih menarik lagi dalam Ghost in the Cell ini ialah hantu yang membunuh itu akan menyerupai mangsanya sendiri ketika menyerang. Ia seolah-olah manusia itu akhirnya dibunuh oleh kejahatan yang terpelihara di dalam tubuhnya sendiri. Hantu bukan datang dari luar, tetapi dari dalam kita sendiri.

Satu lagi watak yang menarik ialah Six (Yoga Pratama), banduan yang tidak berpegang kepada agama tetapi mempunyai kebolehan melihat hantu dan aura manusia. Ini satu lagi paradoks. Selalunya orang alim yang lebih memahami perkara ghaib. Tetapi dalam filem ini, orang yang tidak beragama pula mampu melihat sesuatu yang gagal dilihat oleh orang lain. Saya melihatnya sebagai sindiran, kerana manusia tak kira apa bangsa atau agama pun tetap dikurniakan tuhan dengan kelebihan masing-masing tetapi adakalanya kelebihan yang diberikan itu tidak mampu difahami olehnya sendiri dan dia perlukan bimbingan. Maka itu, banduan alim bernama Wildan (Mike Lucock) diperlukan untuk mentafsir warna-warna aura yang dilihat oleh Six. Wildan tak mampu melihat aura yang keluar dari tubuh manusia seperti mana Six, tetapi dia mempunyai keilmuan untuk mentafsirkannya. Nah! Begitulah tahap manusia dalam memahami, mempercayai dan menghayati sesuatu. Faham, percaya dan menghayati adalah tiga perkara yang cukup besar bezanya.

Di dalam filem ini, tertarik kepada manusia yang mempunyai aura negatif seperti kemarahan dan kebencian. Untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa, banduan perlu menenangkan fikiran dan mengawal emosi. Ada yang memilih untuk bersembahyang, ada pula yang menari. Sembahyang merupakan ritual yang menghubungkan manusia dengan tuhan, sedangkan menari lazimnya dianggap kegiatan hiburan. Tetapi dalam filem ini, kedua-duanya boleh menghasilkan ketenangan yang diperlukan untuk menghindari hantu. Yang hendak diperlihatkan bukanlah soal cara mana lebih suci atau lebih baik, tetapi bagaimana manusia mencari ketenangan melalui jalan yang berbeza. Maknanya, ketenangan hati itu penting biarpun kita berbeza pegangan. Tetapi di dalam dunia yang bernama penjara, mereka terpaksa mencari apa saja persamaan untuk terus hidup dengan selamat. Untuk selamat, manusia perlu tenang.

Kemudian kita diperkenalkan kepada Prakasa Kitabuming (Arswendy Bening Swara), seorang politikus dan ahli perniagaan berpengaruh yang menjalani hukuman penjara tetapi masih menikmati kemewahan. Dalam penjara yang sama, ada orang yang hidup berhimpit dan terdedah kepada keganasan, sedangkan orang tertentu masih boleh menikmati layanan istimewa. Sepatutnya apabila seseorang dihukum, pangkat dan kedudukannya tidak lagi memberikan keistimewaan. Orang biasa masuk penjara kehilangan kebebasan. Orang berpengaruh masuk penjara masih boleh bermewah-mewahan. Ada pula watak Sapto sebagai Ketua Penjara yang mempunyai cita-cita besar menjadi Menteri sehingga sanggup tersengih-sengih dan melutut demi membodek Prakasa, politikus yang menjadi penghuni penjaranya sendiri.

Sebenarnya hantu itu mahu mencari Prakasa. Hantu mengikut Dimas ketika Dimas meninjau kawasan hutan Kalimantan yang musnah angkara Prakasa. Tetapi, dalam usaha memburu Prakasa ramai yang menjadi korban. Prakasa menemui ajalnya dengan cukup sinis. Dia berhadapan dengan hantu yang menyerupai dirinya ketika muda, ketika dia konon masih seorang pejuang yang mempunyai cita-cita dan prinsip. Dia adalah gambaran pejuang muda yang telah mengkhianati prinsip perjuangannya setelah berada di puncak kuasa. Hantu yang membunuhnya adalah diri mudanya sendiri yang pernah berapi-api berjuang. Rupanya si pejuang ini telah menjadi tawanan kepada pangkat dan kuasa.

Ada satu babak, kita diperlihatkan dengan sekumpulan banduan artis dan selebriti yang diasingkan daripada kumpulan Dimas dan Anggoro. Dialog lucunya ialah ‘rakyat Indonesia lebih mengambil berat nasib artis daripada nasibnya sendiri’. Saya ketawa kerana sindiran itu bukan masalah di Indonesia sahaja. Kita di sini pun sama. Kita boleh bergaduh siapa betul siapa salah bila artis bercerai dan berantak, kita sanggup masukkan duit di dalam akaun bank pempengaruh media sosial yang mengadu perniagaannya bakal melingkup kerana hutang yang membebankan sedangkan apabila sepupu kita hendak menjual dodol buatannya sendiri, kita tak jawab WhatsApp dia langsung. Kita simpati kepada artis yang sedang sakit tetapi jiran sebelah sudah sebulan terlantar di wad, kita tak jenguk pun. Memang kita semua obses dengan artis dan selebriti.

Joko melihat penjara bukan sekadar set penggambaran dan premis penceritaan. Ia adalah dunia. Dunia boleh jadi syurga jika semua manusianya tenang dan damai tetapi dunia boleh jadi sebuah kurungan yang menakutkan jika di dalamnya bercampur antara manusia baik dengan manusia durjana. Di dalam filem ini digambarkan manusia ada yang mahu berkuasa, ada yang mahu dilindungi, ada yang mahu dipuja dan ada yang sekadar mahu terus hidup. Hantu adalah dosa silam yang memburu manusia itu sendiri untuk menghukum jika manusia tersebut masih tidak mahu berubah menjadi insan yang baik. Di tengah-tengah seram, ngeri, takut dan cemas itu kita masih ada ruang untuk ketawa. Sepertinya kita faham bahawa dunia ini hanyalah senda-gurau sementara sahaja.

Memang semenjak dua ini saya sering menulis tentang filem dan teater yang saya tonton. Ini kerana apa yang ingin saya sampaikan dalam tulisan berkenaan kehidupan telah berjaya dipersembahkan oleh mereka dalam bentuk visual. Saya tidak pastilah tafsiran saya menepati apa yang dimaksudkan oleh karyawan asalnya tetapi inilah yang boleh saya kutip untuk dikongsi bersama. Untuk kita renungi kehidupan ini melalui sebuah persembahan kreatif.

Sebuah karya yang sudah dipertontonkan kepada masyarakat tidak semestinya mempunyai satu tafsiran yang wajib dipatuhi. Kita bebas menterjemahnya. Apa yang saya lihat dalam filem ini adalah tentang perangai manusia yang terpenjara akibat menjadi mangsa kepada nafsu buas sendiri. Nafsu manusia memang tak pernah puas. Jika ada peluang untuk naik, manusia akan naik walaupun akan menindas manusia lain. Dari situlah wujudnya dendam dan pembalasan oleh pihak yang teraniaya. Hantu dalam Ghost in the Cell itu muncul pun kerana manusialah yang mengundangnya. Telah kita pelajari di dalam kitab al-Quran, manusia adalah sebaik-baik kejadian dan makhluk terbaik ini jugalah yang sedang menghancur-musnahkan dunia. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.