Penganalisis berkata Azmin Ali dan Amirudin Shari pernah menjadi sekutu rapat dalam PKR.


Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, keakraban kedua-dua pemimpin sejak bersama dalam PKR boleh membantu melancarkan rundingan perjanjian kerjasama yang dijangka melibatkan sokongan wakil rakyat pembangkang terhadap pentadbiran negeri.
“Dulu kita kenal Azmin dan Amirudin cukup akrab jadi pada saya hubungan baik antara Azmin dan Amirudin ni akan menjayakan bentuk kerjasama dan akan jadi fasa baru dalam politik negeri Selangor,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas rundingan antara kerajaan Selangor dengan Adun Bersatu mengenai perjanjian kerjasama yang dijangka melibatkan sokongan wakil rakyat pembangkang terhadap pentadbiran negeri.
Amirudin pada Khamis berkata, rundingan mengenai terma perjanjian masih berjalan dan berharap persetujuan dapat dimeterai sebelum pembentangan Belanjawan Selangor 2027 bulan depan.
Naib presiden PKR itu yang juga pengarah strategi pilihan raya Pakatan Harapan (PH) turut memaklumkan setakat ini tiada permintaan luar biasa dikemukakan sepanjang rundingan.
Bagaimanapun, Adun Permatang Nurul Syazwani Noh mendakwa beliau tidak dimaklumkan mengenai rundingan yang dikatakan sudah sampai ke peringkat memuktamadkan terma perjanjian.
Ketika ini, PH memiliki 32 daripada 56 DUN Selangor manakala Barisan Nasional (BN) dua kerusi. Kedua-duanya memnbentuk kerajaan negeri selepas PRN 2023.
Pembangkang pula menguasai 21 kerusi terdiri Bersatu (11) dan PAS (10) sementara seorang Adun bebas menyokong kerajaan negeri.
Untuk rekod, Azmin dan Amirudin pernah menjadi sekutu rapat dalam PKR, dengan Amirudin berkhidmat sebagai exco negeri ketika Azmin menjadi menteri besar Selangor.
Amirudin kemudian menggantikan Azmin sebagai menteri besar pada Jun 2018 selepas pemimpin itu dilantik sebagai menteri hal ehwal ekonomi dalam Kabinet persekutuan.
Azmin pernah menyifatkan Amirudin sebagai anak didiknya dan mendakwa beliau mencadangkan nama Amirudin untuk dipertimbangkan sebagai penggantinya.
Hubungan politik kedua-duanya berubah selepas Azmin dipecat PKR dan menyertai Bersatu pada 2020 ketika ‘Langkah Sheraton’, menyaksikan pentadbiran PH 1.0 terkubur.
Persaingan mereka semakin ketara apabila Amirudin menewaskan Azmin di Parlimen Gombak pada PRU15, namun hubungan peribadi kedua-duanya dilihat masih baik apabila Azmin memanggil Amirudin sebagai ‘adinda’ ketika berbahas di DUN Selangor pada Ogos lalu.
Menurut Mazlan, kedudukan Bersatu di Selangor menjadikan kerjasama itu signifikan, terutama jika wakil rakyat parti berkenaan menyokong kerajaan negeri dalam urusan belanjawan.
Beliau turut melihat langkah itu sebagai strategi Bersatu ketika hubungannya dengan PAS semakin renggang.
“Ia berpotensi mengubah percaturan politik Selangor dalam menghadapi kemungkinan kerjasama BN-PAS pada pilihan raya akan datang” katanya.

Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berkata, peluang kerjasama PH-Bersatu lebih cerah di Selangor berbanding Melaka, mengambil kira hubungan antara pemimpin serta kedudukan Bersatu di negeri itu.
Katanya, kerjasama itu pada peringkat awal lebih menyerupai memorandum persefahaman (MoU) atau perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA), yang boleh membantu menjamin kestabilan pentadbiran Amirudin.
Beliau berkata, perkembangan itu juga berpotensi menjadi langkah awal untuk PH dan Bersatu menghadapi kemungkinan cabaran BN-PAS, sebelum diterjemahkan kepada kerjasama lebih luas di peringkat nasional.
“Jika tiada halangan besar, kerjasama ini boleh berkembang menjadi kerjasama politik menjelang PRU,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.