Wednesday, October 7, 2026

Kenderaan 4×4 dipercayai punca kebakaran di parkir pusat beli-belah, kata bomba

 Sebelum ini tular di media sosial dakwaan bahawa kejadian berpunca daripada EV.

Tangkap layar video tular tunjuk kebakaran di kawasan tempat letak kenderaan bawah tanah di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru, yang tular di media sosial.
PETALING JAYA:
Kebakaran di tempat letak kenderaan bawah tanah aras dua sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru petang tadi dipercayai berpunca daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4), sekali gus menepis spekulasi tular di media sosial yang mengaitkan kejadian itu dengan kenderaan elektrik (EV).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.40 petang sebelum jentera tiba di lokasi enam minit kemudian.

Beliau berkata, operasi itu melibatkan 52 anggota daripada BBP Larkin, BBP Tebrau, BBP Kempas dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ulu Tiram, selain Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) pusat beli-belah itu.

“Daripada 11 kenderaan yang terjejas, lapan daripadanya mengalami kemusnahan dianggarkan antara 80 hingga 90%, dua terjejas 30 hingga 40%, manakala sebuah lagi rosak kira-kira 10%,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini, lapor Bernama.

Mohd Suhaimi berkata, pusat beli-belah itu kembali beroperasi seperti biasa kira-kira 7 malam selepas ditutup sementara susulan kebakaran itu.

Akibat kejadian itu, dilaporkan empat individu termasuk seorang warga Singapura mengalami sesak nafas.

Bagaimanapun, menurut Mohd Suhaimi, seorang mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Beliau menambah, kawasan tempat letak kenderaan bawah tanah yang terjejas masih ditutup bagi membolehkan Unit Forensik menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta menganggarkan nilai kerugian.

Terdahulu, beberapa rakaman video dan gambar tular di media sosial memaparkan kepulan asap tebal keluar dari bangunan itu, selain pengunjung serta pekerja dilihat bergegas meninggalkan premis. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.