Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara itu berkata politik berteraskan ilmu, hikmah dan bakti perlu menggantikan budaya mengampu, fitnah serta manipulasi undi.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata pendekatan berasaskan ilmu, hikmah dan bakti perlu menjadi teras kepada pembaharuan politik ketika sistem demokrasi berdepan pelbagai masalah termasuk rasuah, politik wang dan penyalahgunaan undang-undang.
“Ia bagi melawan politik ampu, merapu, fitnah, serakah dan manipulasi undi,” katanya dalam tulisan bertajuk Demokrasi Matang vs Demokrasi Malang di ruangan Merentas Ruang diterbitkan Sinar Harian.
Bekas menteri luar negeri itu turut menggariskan aspek kerangka governans baharu bagi mencapai hasrat berkenaan iaitu dengan mengadakan rundingan.
“Mengadakan perundingan secara penghakupayaan dan perwakilan di dalam dan di antara ketiga-tiga sektor pembangunan (politik/kerajaan, perniagaan/swasta dan masyarakat sivil),” katanya.
Saifuddin berkata sistem demokrasi ketika ini turut dibelenggu masalah calon yang diragui, politik elitis, dinasti, patronaj, kempen pilihan raya yang mahal, ucapan kebencian dan manipulasi.
Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai ‘demokrasi malang’, sambil memberikan gambaran bagaimana individu yang pernah merampas kuasa dan melakukan kekejaman boleh kembali menjadi pemimpin melalui proses demokrasi.
Saifuddin turut membangkitkan keadaan apabila seorang pemimpin yang memperoleh kuasa melalui proses demokrasi kemudian menggunakan kedudukannya untuk menekan demokrasi itu sendiri.
“Tetapi dengan kisah-kisah ini, dan terdapat contoh-contoh lain juga, maka hakikatnya ialah kita sedang berhadapan dengan ‘demokrasi malang’.
“Maka, kerana itulah kita wajib berjuang membangunkan ‘demokrasi matang’,” katanya.
Beliau berkata demokrasi matang juga perlu berteraskan penghormatan terhadap kepelbagaian kaum, agama dan wilayah, selain membudayakan sikap sederhana dalam kehidupan termasuk politik. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.