Ketua Umno Bukit Gantang serah kepada pimpinan parti untuk tentukan calon PRU16, namun komitmennya khidmat kepada masyarakat tetap utuh.

Beliau berkata, keputusan mengenai calon pada PRU16 terletak pada pimpinan parti, namun komitmennya terhadap masyarakat akan diteruskan tanpa mengira kedudukan politiknya.
“Politik hanyalah salah satu medan untuk berbakti. Sama ada saya menjadi calon ataupun tidak, saya akan terus bekerja untuk masyarakat.
“Jawatan politik ada tempohnya. Tanggungjawab kepada masyarakat tidak ada tarikh luput,” katanya dalam kenyataan, sempena Karnival Kita Palma 2026 di Kampung Paya Baru, Taiping.
Menurut Sollehin, penglibatannya dalam kerja kemasyarakatan bermula ketika berusia 23 tahun melalui Gerakan Belia Warisan Melayu, sebelum aktif dalam politik.
Walaupun tewas kepada penyandang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal di Parlimen Bukit Gantang pada PRU15, beliau terus menggerakkan program kemasyarakatan di kawasan itu.
Mengenai Karnival Kita Palma 2026, yang menghimpunkan lebih 5,000 penduduk daripada beberapa kampung dan taman perumahan, termasuk Taman Palma, Taman Yayasan dan Kampung Paya Baru, Sollehin menyifatkan inisiatif itu sebagai pelaburan sosial bagi mengukuhkan hubungan kejiranan dan semangat kebersamaan.
Beliau turut merancang menjadikan karnival berkenaan sebagai acara tahunan.
Pada masa sama, Sollehin mengumumkan penubuhan SBX, gerakan komuniti yang akan melaksanakan aktiviti kebajikan, bantuan bencana, pendidikan, sukan dan pembangunan belia sepanjang tahun.
Menurutnya, SBX juga akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat masyarakat, termasuk berkaitan premis yang disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian.
Gerakan itu turut memberi ruang kepada golongan muda untuk memimpin, bukan sekadar menjadi peserta program. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.