Tuesday, October 13, 2026

Wujud SOP mohon warganegara anak dewasa, KDN diberitahu

 Teresa Kok (PH-Seputeh) berkata ibu warga emas yang ingin kembali ke Malaysia bersama anak dewasa berdepan cabaran struktur dan pentadbiran.

teresa kok
Teresa Kok (PH-Seputeh) berkata kebanyakan ibu berusia antara 60 hingga 80 tahun mahu kembali menetap di Malaysia bersama anak dewasa, yang juga merupakan penjaga utama mereka. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Teresa Kok (PH-Seputeh) menyeru Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyediakan SOP jelas bagi permohonan kewarganegaraan melalui proses naturalisasi untuk anak dewasa yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia.

Katanya, ketiadaan garis panduan khusus mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan menyebabkan ibu warga emas berdepan pelbagai cabaran struktur dan pentadbiran ketika membantu anak mereka memohon kewarganegaraan.

Beliau berkata, kebanyakan ibu berusia antara 60 hingga 80 tahun dan mahu kembali menetap di Malaysia bersama anak dewasa, yang juga merupakan penjaga utama mereka.

“Golongan ibu warga Malaysia ini kini cuma berhasrat untuk pulang menetap di Malaysia bersama dengan anak-anak mereka yang telah dewasa yang merupakan penjaga utama kepada para ibu warga emas ini.

“Saya ingin minta KDN untuk mengambil langkah proaktif untuk membantu anak-anak dewasa kepada ibu warga Malaysia untuk menguruskan permohonan melalui saluran naturalisasi sedia ada,” katanya di Dewan Rakyat.

Pada sidang Parlimen lalu, katanya timbalan menteri dalam negeri memberi respons positif dengan menyatakan anak dewasa yang dilahirkan di luar negara dan tidak dapat memohon kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) boleh mengemukakan permohonan melalui proses naturalisasi di bawah Perkara 19.

Namun, ibu terbabit masih menghadapi kesukaran menguruskan permohonan anak mereka berikutan ketiadaan SOP.

Justeru, beliau meminta KDN mengambil langkah proaktif bagi membantu anak dewasa berkenaan menggunakan saluran naturalisasi sedia ada.

Dalam pada itu, Teresa turut menggesa kerajaan mengumumkan tarikh kuat kuasa Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Perlembagaan 2025 berkaitan kewarganegaraan bagi anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia.

Katanya, walaupun RUU itu diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Disember 2024, diperkenan Yang di-Pertuan Agong pada 7 Mac 2025 dan diwartakan pada 20 Mac tahun sama, tarikh pelaksanaannya masih belum diumumkan.

Beliau berkata, ketidakpastian itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu warganegara Malaysia yang menetap di luar negara, khususnya mereka yang sudah memasuki trimester ketiga kehamilan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.