Ditahan beli kabel dari penagih dadah 
 Anggota polis memeriksa kabel yang dirampas.

BAYAN LEPAS - Tiga lelaki termasuk seorang pemilik setor barang lusuh ditahan kerana disyaki membeli kabel curi dari penagih dadah dan pendatang tanpa izin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin berkata, hasil maklumat orang awam, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 40-an di sebuah rumah di Permatang Damar Laut kira-kira jam 10 malam semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan, lelaki terbabit adalah pemilik setor barang lusuh yang dipercayai sering membeli barang curi dari penagih dadah dan pendatang tanpa izin.

Setelah diambil keterangan, lelaki berkenaan membawa sepasukan anggota polis ke sebuah setor menyimpan barangan lusuh di kawasan berhampiran dan menahan dua lagi lelaki berusia 18 dan 27 tahun dipercayai pekerjanya.

"Dua lelaki yang sedang melakukan kerja pengasingan wayar dari kabel yang disyaki dicuri itu terpinga-pinga ketika polis tiba namun mereka tidak melawan malah tidak cuba melarikan diri. Ketiga-tiga lelaki itu dibawa ke Balai Polis Bayan Lepas untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, polis merampas kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia seberat lebih 100 kilogram bernilai kira-kira RM30,000.