Ketua Bersatu Terengganu Razali Idris berkata perbalahan PAS-Bersatu hanya untungkan lawan yang mahu melihat gabungan itu berpecah.

Ketua Bersatu Terengganu Razali Idris berkata kemelut antara dua parti itu hanya akan menguntungkan lawan yang sentiasa menunggu ruang memecah-belahkan kekuatan PN.
Menurut Razali, segala ketidakpuasan hati perlu diselesaikan dengan hikmah dan jiwa besar sambil menyatakan meja rundingan langkah terbaik untuk mencari penyelesaian menang-menang.
“Saya yakin kebijaksanaan Hadi dan Muhyddin mampu menemukan titik damai demi memastikan Perikatan Nasional terus kukuh, matang dan diyakini rakyat,” katanya di Facebook.

Beliau yang juga ahli exco kerajaan Terengganu turut berkata PN perlu kekal sebagai blok pembangkang yang kuat, bersatu dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Matlamat perjuangan mesti jelas, iaitu ‘route to Putrajaya’.
“Bukan sekadar menjadi pembangkang, tetapi membina kekuatan sebagai satu pasukan besar yang bersedia memerintah Malaysia dengan lebih stabil, bersih dan berintegriti,” katanya yang turut yakin peranan Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar dalam menyelaras kepimpinan secara tenang dan strategik.
Jumaat lalu, Hadi memberi amaran kepada Bersatu yang kesabaran PAS ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu didakwa melanggar semangat setia kawan dalam PN.
Tegasnya, PAS akan mengkaji semula hubungan bersama Bersatu dengan mengkaji tindakan rakan komponennya itu
Ahli Parlimen Marang itu berkata antaranya pendirian Bersatu yang didakwa tidak bersetuju usaha membawa masuk parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam yang tidak ekstrem ke PN.
Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei lalu tidak membuat sebarang keputusan berkait permohonan Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) untuk menyertai gabungan itu.
Difahamkan, ketiadaannya susulan bantahan wakil Bersatu kerana khuatir parti baharu berkenaan akan menjadi ‘rumah baharu’ kepada Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin yang mendakwa disokong 18 Ahli Parlimen Bersatu, seterusnya berupaya menggugat kestabilan dalaman PN.
Kritikan Hadi turut berkisarkan penarikan sokongan Adun Bersatu di Negeri Sembilan untuk bersama Umno bagi membentuk kerajaan negeri.
Selain itu perkembangan di Perlis menyaksikan tampuk pemerintahan beralih ke Bersatu dan campur tangan pelantikan exco dan timbalan speaker di Kedah serta Kelantan.
Bersatu menerusi biro politiknya semalam menafikan semua dakwaan itu dan menggesa semua isu membabitkan PAS sepatutnya diselesaikan menerusi saluran dalaman PN bagi mengelak salah faham serta persepsi negatif. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.