Tuesday, January 29, 2013

WASIAT TUN RAZAK: PENEROKA itu TUAN, FELDA itu HAMBA





Oleh: Wan Rohimi Bin Wan Daud @29012013

Almarhum Tun Razak memberitahu saya sejak 27/4/1960, bahawa Kerajaan berhasrat memberikan tanah kepada rakyat yang tidak bertanah (giving land to the landless). Menginsafi kemelaratan dan kemiskinan hidup rakyat 3 tahun selepas merdeka, Tun Razak memberitahu saya bahawa tanah-tanah tersebut akan diberikan secara sistem “hire-purchase”. Dengan kata lain secara sewa-milik. Pada akhirnya, mengikut wasiat Tun Razak, selepas membayar keseluruhan hutang dalam sistem sewa-milik, maka tanah-tanah itu hendaklah dimiliki sepenuhnya oleh peneroka. Dimiliki secara mutlak oleh peneroka. Sebab itu Seksyen 47 Akta GSA dimasukkan dalam Akta itu. S. 47 GSA terang dan jelas, untuk membebaskan tanah itu dari kongkongan Akta GSA. Tanah yang diberi Geran Hakmilik tidak lagi tertakluk kepada Akta GSA. Tanah itu sama dengan tanah-tanah lain diluar kawasan Rancangan Felda, yang dikawalselia oleh Kanun Tanah Negara 1965. Segala sekatan kepentingan (restriction in interest) ke atas tanah itu juga hendaklah dianggap sekatan kepentingan di bawah Kanun Tanah Negara 1965. Dalam keadaan sedemikian, kuasa eksekutif ke atas tanah-tanah yang telah diberi hakmilik adalah terletakhak kepada Kerajaan Negeri. Ya. Kerajaan Negeri, melalui Pejabat Tanah. Bukan Felda. Itulah wasiat Tun Razak, yang dimaklumkan kepada saya pada 27/4/1960 – melalui Penyata Rasmi (Hansard) Dewan Rakyat.

Seksyen 47 (d) Akta GSA menyatakan:-

(a) Express condition and restrictions in interest endorsed on the document of title shall continue to run with the land until amended or rescinded pursuant to subsection (4) and shall be deemed to be expressed conditions and restrictions in interest imposed under the National Land Code.

Ini selaras dengan penegasan Tun Razak di Dewan Rakyat pada 27/4/1960:-

“Once title has been granted, the land ceases to be State Land.................”

Setiap peneroka yang menyertai Rancangan Felda akan menandatangani 2 set perjanjian – Surat Perjanjian Peneroka dan Perjanjian Tambahan. Adalah diperhatikan bahawa kedua-dua perjanjian tersebut merujuk kepada hal keadaan penyertaan awal peneroka “sebagai seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan surat Hakmilik”. Surat Perjanjian Peneroka, adalah perjanjian asas untuk diterima sebagai peneroka. Peneroka akan hanya didaftarkan sebagai “seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan Surat Hakmilik”, selepas satu Perjanjian Tambahan ditandatangani oleh peneroka. Ini selaras dengan Fasal 15 Perjanjian Peneroka yang memperuntukkan seperti berikut:-

“15. Apabila Perjanjian Tambahan ditandatangani, Lembaga akan mendaftarkan Peneroka sebagai seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan Surat Hakmilik bagi satu kawasan yang tidak dibelah bahagi seluas lebih kurang 14 ekar daripada Kawasan Rancangan yang ditanam dengan sawit dan lebih kurang ¼ ekar daripada Kawasan Rancangan untuk Lot Rumah”.

Selanjutnya, Frasa “sebagai seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan surat Hakmilik” ada terkandung pada 12 tempat dalam Perjanjian Tambahan iaitu pada baris 6, Fasal 1, 2, 3, 5, 6, 9, 11, 17, 21, 22 dan 23.

Berdasarkan Perjanjian Tambahan, adalah jelas diperuntukkan seperti berikut:-

2. Tertakluk kepada pertimbangan cara-cara dan syarat-syarat yang ternyata dalam Perjanjian Tambahan, FELDA akan mendaftarkan Peneroka sebagai seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan Surat Hakmilik mengikut Seksyen 12(1) dalam Akta mengenai Tanah itu;

4. Perjanjian Tambahan hendaklah disifatkan sebagai dipinda seperti berikut:-

[c] Perkataan “Seksyen 35(4)” dibaris 3 dalam Fasal 1 hendaklah disifatkan sebagai telah dipotong dan digantikan dengan perkataan “Seksyen 12(1)”.

Oleh itu, jelas sekali keseluruhan 2 set perjanjian antara Peneroka dan Felda adalah HANYA berkaitan dengan penyertaan awal sebagai peneroka, sebelum Surat Hakmilik dikeluarkan.

Perjanjian-perjanjian tersebut dengan jelas merujuk kepada perjanjian di bawa Seksyen 12(1) Akta GSA yang merujuk kepada “Occupation In Expectation Of Title”, iaitu kependudukan sebelum mendapat hakmilik dan dalam jangkaan untuk mendapatkan hakmilik.

Oleh itu, selepas Surat Hakmilik dikeluarkan kepada Peneroka, maka perjanjian-perjanjian tersebut telah terhenti berkuatkuasa atau discharged by performance atas alasan-alasan berikut:-

1. Asas kepada kedua-dua perjanjian tersebut adalah sebagai instrumen mengawal selia kemasukan peneroka “sebagai seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan surat Hakmilik”;

2. Perjanjian-perjanjian tersebut dibuat/sandarkan kepada Seksyen 12(1) Akta GSA iaitu “Occupation In Expectation Of Title”, - pendudukan sebelum mendapat hakmilik dan dalam jangkaan untuk mendapatkan hakmilik;

3. Selepas Surat Hakmilik dikeluarkan, dengan sendiri substance atau pati kepada perjanjian tersebut telah dipenuhi dan oleh itu perjanjian tersebut telah berakhir/dan tidak lagi berkuatkuasa – discharged by performance;

4. Selepas maksud kepada S.12(1) Akta GSA dipenuhi dengan pemberian Surat Hakmilik, maka S. 12(1) sudah tidak lagi terpakai dan menjadi akademik;

5. Seksyen 47 Akta GSA dengan jelas memperuntukkan bahawa tanah-tanah tersebut adalah milik individu Plaintif-Plaintif yang dikawal selia oleh Kanun Tanah Negara 1965;

6. Seksyen 47 juga memperuntukkan bahawa apa-apa sekatan kepentingan atas Surat Hakmilik hendaklah dianggap sebagai sekatan kepentingan di bawah Kanun Tanah Negara 1965;

Analogi Mudah – bagi sesuatu Perjanjian Sewa Milik (Hire Purchase), contohnya membeli kereta, maka selepas selesai keseluruhan urusan dibawah perjanjian tersebut – selepas pembayaran penuh harga beli termasuk faedah bank, maka dengan sendirinya sesuatu Perjanjian Sewa Milik tersebut akan berakhir/terhenti berkuatkuasa – discharged by performance. Ini adalah kerana objektifnya telah dicapai dan tanggungjawab pihak-pihak kepada perjanjian telah dipenuhi.

Hal yang sama berlaku dalam konteks perjanjian peneroka dan Felda. Jelas sekali perjanjian dibuat di bawah Seksyen 12(1) Akta GSA iaitu pemilikan sebelum mendapat hakmilik. Selepas hakmilik diberikan, sudah tentu Seksyen 12(1) tidak lagi terpakai. Keseluruhan terma-terma perjanjian juga (yang banyak menekankan kepada “penduduk yang kelak dikurniakan hakmilik”) telah tidak lagi terpakai. Maka dengan sendirinya perjanjian tersebut berakhir dan tidak lagi berkuatkuasa.

Tun Razak juga memberi pesan bahawa dalam usaha memberikan tanah-tanah itu kepada rakyat yang tiada bertanah, Felda dan Kerajaan boleh berniaga. Felda ditubuhkan pada 1/7/1956, setahun sebelum Merdeka, dan hampir 4 tahun sebelum Akta GSA digubal. Benar. Felda telah berniaga untuk satu pusingan. Bermodalkan dana dari Bank Dunia, Felda dilantik menjadi Pengurus, mendahulukan modal untuk membangunkan tanah-tanah peneroka, dan mengenakan caj perkhidmatan, upah dan kadar faedah yang tinggi. Untuk satu pusingan hutang BK (Bayaran Kembali), peneroka mengambil masa selama 20 – 25 tahun untuk menyelesaikannya.

Kerajaan Negeri juga berniaga. Dengan cara mengenakan bayaran premium ke atas setiap inci tanah yang diberikan kepada peneroka. Selepas diberikan Hakmilik, Kerajaan Negeri mengutip hasil melalui cukai tanah. Itu perniagaan yang jelas. Yang nampak! Tetapi nun di sana sumbangan peneroka lebih besar. Kemasukan berbondong-bondong kumpulan peneroka untuk mendiami hutan belantara, yang sebelum itu didiami oleh binatang buas dan komunis, telah ternyata menjadi teras kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat untuk memajukan sesebuah kawasan hutan belantara dengan pusat ekonomi dan dengan itu akan membiakkan industri hiliran. Maka tumbuhlah pekan-pekan kecil yang menjana ekonomi rakyat sehingga kini.

Pada pemerhatian saya, kumpulan peneroka adalah pejuang asal yang memajukan ekonomi negara ini sejak selepas merdeka. Negara kita tidak punyai hasil lain. Kecuali hasil pertanian. Justeru peneroka sepatutnya dilayan seperti TUAN, dan bukan sebagai HAMBA. Selepas tamat satu pusingan hutang-hutang BK dijelaskan sepenuhnya, dan Hakmilik diberikan, maka peneroka sepatutnya dibebaskan dari rejim GSA. Felda perlu berundur dari kawasan Rancangan. Isytiharkan kawasan Rancangan itu sebagai kawasan perkampungan. Kampung Kemahang. Kampung Aring. Kampung Jengka. Kampung Air Tawar. Kampung Bukit Ramun. Keluarlah Felda, keluarlah dari kawasan Rancangan itu sepenuhnya. Berikan kebebasan kepada peneroka. Setiap inci bumi itu sudah menjadi milik mereka. Mereka Tuan, kepada harta mereka. Usahlah lagi mencari helah untuk terus berlagak sebagai Tuan kepada peneroka sehingga kiamat!

Pelik bukan. Selepas peneroka diberikan geran tanah, mendapat hakmilik mutlak, Felda masih bertenggek di situ. Memaksa peneroka untuk menerimanya mereka sebagai Tokey, sebagai Tuan. Mengaut untung dan menghisap darah peneroka atas hasil ladang mereka. Benar. Dalam mana-mana sistem perniagaan, khidmat orang tengah, broker, peraih, selalunya akan menyedut hasil dan pendapatan petani-petani dengan rakusnya.

Kedudukan Felda dalam kawasan Rancangan tidak lebih daripada orang tengah, peraih dan broker, untuk mengaut hasil sawit peneroka. Peneroka menjual sawit secara paksa. Mereka tidak diberi pilihan, untuk memilih kilang mana yang harganya lebih tinggi. Mereka dipaksa hantarkan buah sawit ke kilang Felda, dan tunggulah bayaran pada hujung bulan. Bila dilihat “paysheet” bulanan, berbelas-belas potongan dibuat oleh Felda.

Cuba bayangkan senario ini. Tiada orang tengah yang mengaut hasil jualan sawit. Peneroka potong buah. Peneroka angkut buah ke kilang. Peneroka jual. Dapat duit, cash lagi. Peneroka boleh pilih kilang mana yang dia suka, yang pastinya lebih mahal. Pulangan hasil lebih lumayan. Peneroka selenggara sendiri ladang mereka, tidak perlu upah kontraktor yang dilantik Felda. Peneroka tanam sendiri ladang mereka (untuk pusing kedua). Pilih sendiri kontraktor, atau pilih untuk tanam sendiri. Beli baja sendiri. Racun tikus sendiri. Bela burung hantu sendiri. Tentunya mereka lebih bermotivasi, kerana kemalasan mereka akan diterjemah dalam bentuk pengusutan hasil bulanan. Paling penting, setiap sen hasil sawit yang dijual, semuanya milik mereka. Sudah tentu mereka akan kaya raya. Bila peneroka kaya raya, kuasa beli meningkat. Ekonomi negara pastinya lebih mansang! Perlu diingat, anak-anak peneroka ini ramai. 7 – 10 orang anak satu keluarga adalah perkara biasa. Maklum sajalah, balik dari ladang, apa lagi kerja mereka. Selain mengoles isteri tercinta!!!

Tapi kini dunia terbalik, yang diperkasakan oleh pembesar negeri ini, ialah Felda. Sedang Felda itu sifatnya hanya broker dan peraih. Orang tengah. Sesudah hutangnya bersama untung dibayar sepenuhnya oleh peneroka, mereka masih bertenggek di situ. Mengaut untung atas angin hasil keringat dan peluh mereka. Pendapatan peneroka hanya RM1,500 – RM2,000-00 sebulan. Anak 10. Akhirnya walau memiliki ladang sawit seluas 10 ekar, peneroka tidak ubah kais pagi makan pagi, kais petang untuk malamnya. Sejak merdeka hinggi kini, peneroka masih miskin tegar.

Sedang Felda itu kaya raya. Pengerusinya dibayar elaun puluhan ribu setiap bulan. Pembesar-pembesarnya lena diulit kerusi empuk di pejabat, dengan elaun bulanan belasan ribu. Duit Felda berbillion-billion (dulu la.....). Ramai Tuan-tuan politik melobi sana sini nak jaga Felda. Nak jadi Menteri yang jaga Felda. Nak jadi lembaga pengarah kepada anak syarikat Felda. Anak syarikat lingkup tidak mengapa, janji pengarah dapat elaun yang lumayan. Kemewahan dan pembaziran merebak ke serata alam. Namun peneroka, kelam dan terus kelam!!!

Kini tiba musim pilihanraya. Maka ramailah tuan-tuan politik yang suka mengungkit. Dipaksa dan diugutnya peneroka untuk ucap terima kasih kepada tuan-tuan politik. Sudah tentu ucapan terima kasih itu membawa maksud sokongan terbuka kepada pemerintah, dan mengundi parti pemerintah. Jelek kita melihatnya. Diungkit ke serata alam kononnya tanpa mereka, siapalah peneroka. Tanpa pembesar itu dan ini, peneroka tak dapat kemewahan seperti hari ini. Mewah ke peneroka??? Padahal peneroka dapat apa yang mereka dapat bukan percuma. Sama macam membeli kereta secara sewa milik, lepas habis hutang, baru jadi pemilik mutlak. Peneroka pun begitu, semua proses pembangunan ladang dan kemudahan infrastruktur dibayar peneroka, termasuk faedah, upah, caj perkhidmatan bahkan ketirisan dan pembaziran yang dilakukan oleh tuan-tuan politik. Semua gaji Pak-pak Menteri Felda dibayar oleh peneroka. Gaji pengerusi dibayar oleh peluh peneroka. Gaji keseluruhan kakitangan Felda dan para pengampu tuan-tuan politik, juga disara oleh peneroka. Apalagi yang perlu diucapkan terima kasih? Siapa yang sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada siapa? Sememangnya ucap terima kasih itu baik! Menghargai pertolongan sesama insan juga baik. Orang berbudi, kita berbahasa!! Tetapi usahlah dipaksa dan diugut, agar semua peneroka berterima kasih kepada Ketua Peraih, yang mengaut keuntungan atas keringat peneroka.

Bertentangan dengan Wasiat Tun Razak, selamanya peneroka dilayan seumpama Hamba!!!

- Gaya Peneroka

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.