Tuesday, April 30, 2013

Rungutan Marina, Harakah di komuter dan sekatan PWTC


H FANSURI

Marina Mahathir wajar berasa marah. Hatinya tentu sekali terhiris luka berikutan kelembapan BN dalam urusan menyelenggara ceramah parti yang mungkin bakal rebah dalam PRU13.


"WHY is it so difficult to find a schedule of BN ceramahs? Surely they don't expect us to drive around looking for them?" status Facebook beliau dipetik 28 April lalu.

Kenapa sulit benar mencari jadual ceramah BN kali ini? Mungkin Marina memburu jadual ceramah ayahnya Dr Mahathir Mohamad. Mungkin derita itu turut dikongsi ahli-ahli Umno lainnya.

Anehnya rungutan ke atas kurangnya susunan ceramah itu tetap wujud dalam keadaan RTM, Bernama dan Jabatan Penerangan di bawah selia dan kawalan BN, manakala semua stesen TV dan akhbar harian dikongkongnya. Ahli dan penyokong Umno masih mengharapkan ceramah pemimpin mereka?

Ketika Umno saling bercakaran dan bersengketa, jauh sedikit di suatu sudut di Sg Buloh, Selangor sekumpulan aktivis PAS dari Damansara Damai bersama Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman yang juga Pengerusi KAMI, giat mengedarkan akhbar Harakah, sisipan Bangkit dan tabloid khas INIKALILAH! dalam komuter menuju hentian Bank Negara, Ahad lalu.

Acara itu bermula seawal jam 11 pagi. Mereka berhimpun di hentian KTM komuter Sg Buloh bersama para pengguna kenderaan awam berkenaan. Saya perhatikan sambutan orang ramai menggalakkan dan mereka menerima bahan bacaan alternatif itu dengan baik sekali.

Sekali imbas dapat disimpul rumuskan bahawa -- rakyat kini makin terbuka dengan Pakatan Rakyat dan tidak rasa cemas dan cuak ketika membaca akhbar-akhbar yang dicela BN sebagai seteru yang paling jahat. Akhbar alternatif itu rupanya mempunyai peminat yang cukup ramai.

Pendekatan turun ke padang; mengedarkan risalah ini yang barangkali perlu dicontohi oleh BN untuk menyebabkan Marina Mahathir dapat mengetahui perjalanan jadual ceramah-ceramah BN daripada semasa ke semasa.

Mungkin sesetengah pihak (khasnya Umno BN) beranggapan, "Siapa yang mahu menolak risalah percuma?" sebagai menolak hujah berhubung penerimaan rakyat ke atas Pakatan Rakyat berdasarkan ukuran keasyikan menadah bahan bacaan ini.

Bagaimanapun, perlu dikhuatirkan oleh BNl juga bahawa hal penerimaan rakyat semakin meningkat ke atas Pakatan kerana sihir media di sepanjang masa sudah dipatahkan.

Biarpun BN cuba mengirim ketakutan ke dada rakyat ke atas bahayanya mengundi pembangkang, namun rakyat sudah tidak peduli dengan tohmah fitnah yang ditombakkan ke dada fikiran rakyat bertalu-talu. Masyarakat mendambakan akhbar atau sumber maklumat yang lebih kredibel.

Bayangkan, ketika Marina Mahathir mengeluh kerana sulit menemui jadual ceramah BN, dan dalam masa sama, BN masih menguasai media-media awam itu, ketika yang sama juga, rakyat boleh menerima bahan-bahan bercetak tajaan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) ini.

Sebenarnya, ada satu lagi insiden di hari sama selepas kami mengedarkan Harakah, Bangkit dan INIKALILAH! Sebelah petangnya, jam 5.15, Ahmad Lutfi bersama Subky Abd Latif dan Dr Muhaimin Sulam menjadi ahli penal membicarakan buku masing-masing di Pusat Dagangan Dunia Putra sempena Pesta Buku Antarabangsa yang bermula Jumaat lalu.

"Ana disekat," katanya kepada saya dengan wajah sugul ketika tiba di pejabat Harakah sekitar hampir jam 6 petang. "Walhal ana baru jawab tiga soalan saja. Itupun berkaitan judul buku, Pencuri Pilih Anjing, dan isu-isu kebebasan akhbar di Malaysia."

Sekatan Umno-BN ke atas idea-idea yang menggugat mereka, termasuk melalui bahan bacaan bukan baharu. The Malaysian Maverick (Barry Wain) pernah ditahan KDN apabila buat pertama kalinya tiba di Pelabuhan Kelang, Disember, 2009.

Lalu, peristiwa itu menuai polemik mengenainya buat seketika. Akhirnya, api kekecohan itu dipadamkan apabila pihak KDN bersetuju agar buku itu diedarkan pada April 2010 di pasaran secara terbuka.

Jelasnya, buku dan suara yang disekat akan semakin diminati. The Malaysian Maverick kemudiannya menjadi salah sebuah buku terlaris di Malaysia. Pengarangnya, Barry Wain berkata kurang lebih 12,500 unit buku itu telah siap terjual di belahan benua Asia and Australia.

Dan petang itu, selepas membuat daya renung ke atas keluh ratap Marina Mahathir, lalu terlihat pula catatan Facebook Ahmad Lutfi Othman tentang sekatan bedah buku di PWTC.

Hati ini berdesis, "Marina Mahathir mengeluh mengenai kesulitan mencari jadual ceramah kempen politik BN, tapi apabila kita merakyatkan suara daripada pagi ke petang, maka justeru kita dihalang."

Kalau BN 'malas' merakyatkan ceramahnya, maka janganlah dihalang pula suara musuhnya! Voltaire seorang tokoh pemikir revolusi politik pernah berkata, "Saya tidak setuju dengan anda, tapi hak anda bersuara tetap terpelihara."

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.