Sunday, June 21, 2015

Berani Menuduh & Memfitnah, Beranilah Bertanggungjawab Dan Terima Akibatnya...


Ahmad Awang pertimbang saman Hadi kerana dakwaan calon DAP

Calon presiden PAS yang tewas, Ahmad Awang, sedang mengkaji tindakan undang-undang ke atas pihak yang memfitnah beliau sepanjang kempen pemilihan baru-baru ini, termasuk presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, beliau tidak kesal kecundang dalam pemilihan itu kerana ia adat pertandingan namun fitnah yang dilemparkan kepadanya dan pihak lain menyebabkan perpecahan besar berlaku dalam PAS.

"Saya sedang kaji tindakan itu (saman), termasuk presiden yang menuduh saya sebagai calon DAP," kata Ahmad kepada The Malaysian Insider.

"Ini (fitnah) saya tidak boleh terima dan saya akan bersihkan nama baik saya,"
 katanya yang tewas dalam pemilihan itu awal bulan ini apabila hanya mendapat kira-kira 25% sahaja dari keseluruhan jumlah undi.

Menjelang pemilihan pada muktamar tahunan ke-61 parti itu di Kuala Selangor, Hadi dalam satu kenyataannya yang disebarkan melalui video mendakwa, pertandingan itu antara calon pilihan DAP dan calon pilihan PAS.

"Boleh pilihlah antara yang DAP hendak atau yang kita (PAS) hendak,"katanya dalam rakaman video yang disebarkan secara meluas melalui media sosial khasnya di kalangan perwakilan muktamar itu.

Semasa pemilihan pula, 'cai' atau senarai calon kumpulan pro beliau disebarkan di kalangan perwakilan yang sedang berbaris untuk mengundi.

Dalam pemilihan itu, kumpulan pro-Hadi menyapu bersih jawatan dalam PAS Pusat, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat manakala calon Dewan Ulama dimenangi tanpa bertanding.

Hanya Mazlan Aliman, calon yang tidak tersenarai dalam cai pro-Hadi itu, memenangi jawatan ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, namun meletakkan jawatan kira-kira seminggu selepas itu.

Selain Ahmad, bekas bendahari dan juga pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi juga turut mengkaji mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang membuat fitnah terhadapnya.

Asmuni, seorang peguam dan pernah mewakili Hadi dalam kes saman RM2 juta oleh bekas calon PKR Bukit Besi menyatakan perkara ini melalui satu posting dalam Facebook beliau sebaik sahaja selesai muktamar PAS tersebut. -TMI

ULASAN GB

Berani membuat tuduhan dan fitnah maka kenalah berani bertanggungjawab dan menanggung akibatnya.

Di dalam pil kuda dahulu Haji Hadi berjaya melepaskan diri, hasil dari pertolongan seorang peguam dari kumpulan profesional, Asmuni Awi. Itu pun Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa di awal penghakimannya berkata :

"Mahkamah mendapati kata-kata yang disebut Abdul Hadi dalam ucapannya pada malam berkenaan adalah sebagai kata-kata yang berunsur fitnah."

Sekalipun bebas daripada tuduhan memfitnah seseorang secara spesifik, tetapi wajarkah seorang Presiden Parti ISLAM SeMalaysia mengeluarkan perkataan yang berunsur fitnah? Dalam kitab apa yang mengizinkan / membolehkan seseorang Islam mengeluarkan perkataan berunsur fitnah?

Dan kini Haji Hadi bakal diheret ke mahkamah sekali lagi, akan berada di kandang orang salah sekali lagi. Suka-suka menuduh dan memfitnah calon lawannya sebagai mengikut telunjuk DAP.

GB telah lama mengingatkan pimpinan PAS bahawa mereka perlu bersedia untuk diheret ke mahkamah pada bila-bila masa. Di dalam satu tulisan GB sempena Maal Hijrah tahun 2009 lagi GB telah menjangkakan:

Tanpa melupai fakta bahawa sebagai sebuah organisasi dakwah, PAS akan menghadapi tribulasi-tribulasi, tetapi di dalam bentuk baru. PAS akan menempuh gelombang tribulasi Badar, Uhud dan Khandaqnya sendiri, malah PAS akan mengharungi "Perjanjian Hudaibiyah" dan "fathul Makkah"nya sendiri.

Sebagai entiti politik pula PAS perlu bersedia untuk berdepan dengan mehnah baru. Perlu memperlengkapkan diri untuk diheret ke mahkamah bila-bila masa. Perlu bersedia menghadapi tantangan daripada ahlinya sendiri yang akan mencabar kepimpinan


Wallahu alam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.