Tuesday, March 1, 2016
Nazri - Muhyiddin Mahu Jadi PM, Shafie TPM
KUALA LUMPUR : Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disyaki terbabit dalam konspirasi cubaan menggulingkan ketuanya, Datuk Seri Najib Razak kira-kira setahun lalu, dedah anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz.
Nazri berkata pertemuan ketika itu antara Muhyiddin yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Tan Sri Abdul Gani Patail yang merupakan Peguam Negara merupakan bukti mereka bekerjasama untuk menyingkir Najib melalui kontroversi 1MDB.
Mereka turut disertai beberapa lagi individu, yang disifatkan sebagai penentang.
“Saya hairan juga bagaimana seorang TPM boleh panggil Peguam Negara (untuk bertemu). Sebenarnya beliau tak boleh buat demikian. Kalau sekalipun dia nak berbuat demikian dia kena panggil Jemaah Menteri.
“Ya, dari situ sepertimana (Menteri) Azalina Othman sebut ada tanda konspirasi,” katanya kepada FMT dalam satu wawancara Ahad lepas.
Menyusuli hukuman penggantungan minggu lalu, Muhyiddin mendakwa Gani telah menunjukkan kepada beliau bukti, semasa kedua mereka masih memegang jawatan masing-masing, suatu “perilaku jenayah” melibatkan dana yang disalurkan daripada SRC International, ketika masih anak syarikat 1MDB, ke akaun peribadi Perdana Menteri pada 2013.
Sebelum ini, Datuk Seri Azalina, yang juga merupakan anggota MT, berkata pendedahan oleh Muhyiddin akan pertemuan dengan Gani itu merupakan bukti adanya konspirasi peringkat tertinggi untuk menggulingkan Najib secara tidak demokratik.
Mengulas lanjut, Nazri berkata apa yang didakwa diberitahu oleh Gani kepada Muhyiddin dalam pertemuan itu tidak boleh dianggap sebagai bukti kerana ia tidak dibawa ke mahkamah dan berdasarkan kepada siasatan yang sedang dijalankan.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu mendakwa langkah itu sebenarnya rancangan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, dan bagi tujuan itu beliau merekrut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal. Beliau menambah hasrat mereka turut mendapat sokongan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anak, Datuk Seri Mukhriz.
Muhyiddin dan Shafie digugurkan daripada Jemaah Menteri pada Julai tahun lalu manakala Mukhriz digugurkan sebagai Menteri Besar Kedah, bulan lepas. Mahathir isytihar keluar parti semalam.
Nazri berkata agenda mereka adalah supaya Muhyiddin “menjatuhkan” Najib dan Shafie diangkap sebagai timbalannya dalam kerajaan. Beliau berkata Shafie mahu menjadi TPM tetapi hasratnya terhalang dengan keberadaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang lebih kanan dalam hirarki parti.
Nazri menambah Muhyiddin “tidak gembira” dengan sokongan terhadap Najib, bahkan menolak peluang membantu Najib mengendalikan isu 1MDB.
“Satu ketika, saya nak cerita, saya tak peduli. (Menteri) Datuk (Ahmad) Shabery Cheek mencadangkan untuk kita tambahkan konsistensi dalam jawapan sebab (isu itu) kompleks, jadi Shabery Cheek cadangkan Muhyiddin.
“Patut sebagai orang nombor dua, dia ambillah tanggungjawab tu. Jadi kita pun terkejut (bila dia tolak),” kata Nazri.
Bila ditanya mengapa UMNO mengambil masa yang lama untuk bertindak terhadap Muhyiddin, beliau berkata parti tidak mempunyai bukti pada masa itu, maka Muhyiddin diberi peluang lantaran tidak bercakap mengenai isu itu di luar saluran parti.
“Ketika itu PAU (Perhimpunan Agung UMNO), mood mahu kita bersatu. Datuk Najib pun masa tu hulurkan tangan persahabatan. Jadi kita relax (bertenang). Bila AG umumkan pada bulan Febuari, kita sebagai ahli Umno patut rasa lega lah. Kalau ada orang nak bangkit bukan ahli Umno lah, pembangkang kita fahamlah.”
“Tapi bila dia bila berjumpa dengan 13 cawangan tu (di Port Dickson), patut dia redakan keadaan, tapi dia menghasut. Ketika itulah kita nak ambil tindakan. Dia dah tahu dah. Tak perlu show cause letter (surat tunjuk sebab). Dia dah tahu kesalahan dia,” tambah beliau.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.