Saturday, May 28, 2016

ADUN JADI CALON PARLIMEN DI SUNGAI BESAR, APAKAH KEDUDUKAN KETUA BAHAGIAN TIDAK BERNILAI?

Image result for calon BN Sg Besar

Bukanlah amalan biasa bagi UMNO memilih seseorang yang sudah menjadi Adun bertanding di kerusi Parlimen, apatah lagi jika Ketua Bahagiannya tidak pernah bertanding sebelum ini.

Tetapi ia berlaku di Sungai Besar. UMNO meletakkan Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zuhdi untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun nanti, dalam masa yang sama mengenepikan Jamal Mohd Yunus, Ketua UMNO Bahagian yang masih muda dan tidak pernah bertanding di mana-mana kerusi sebelum ini.

Apakah Jamal tidak layak dan kedudukan Ketua Bahagian yang disandangnya tidak bernilai satu sen pun untuk dipertimbangkan sebagai calon?

Kalau pun bukan Jamal, tiadakah pemimpin lain di kalangan pimpinan UMNO Bahagian yang turut layak untuk diketengahkan, sehingga Budiman yang sudah pun menjadi Adun dipilih lagi bertanding untuk bergelar Ahli Parlimen pula?

Apakah UMNO sudah begitu ketandusan pemimpin? 

Jika dalam beberapa pilihanraya kecil sebelum ini, calon tempatan bukan daripada kalangan pemegang jawatan utama dalam UMNO boleh diketengahkan, kenapa formula yang sama tidak digunakan, kalau pun tidak mahu memilih Jamal atau pimpinan UMNO yang lain sebagai calon?

Dalam masa yang sama, apakah kelebihan yang rakyat atau pengundi perolehi dengan menjadikan seorang Adun sebagai Ahli Parlimen dalam waktu yang sama?

Bukankah jika orang lain yang dipilih oleh UMNO sebagai calon dan kemudian menang, bermakna pengundi Sungai Besar akan mendapat dua wakil rakyat yang berbeza dan ini lebih memberi manfaat kepada rakyat?

Tetapi, berbanding jika Budiman yang menang, rakyat tidak mendapat apa-apa kelebihan, melainkan hanya Budiman yang akan bergelar Adun dan Ahli Parlimen secara serentak.

Tulisan ini tidak sama sekali mempertikaikan kelayakan atau kemampuan Budiman. Beliau adalah rakan lama saya dan saya telah mengenalinya berbelas tahun yang lalu ketika beliau masih berkhidmat dengan Telekom Malaysia lagi.

Ketika itu beliau belum begitu aktif dalam UMNO Sungai Besar, tetapi Budiman selalu bercakap tentang cita-citanya dalam dunia politik, malah turut menyebut tentang pilihan lain jika gagal menyerlahkan bakatnya.

Beliau memang seorang yang baik, banyak idea, ada visi dan setelah bergelar wakil rakyat, selalu menampakkan dirinya turun padang serta membiasakan kedudukannya tidak berbeza dengan rakyat biasa.

Alhamdulillah, beliau kini adalah Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan Adun Sungai Panjang. Sekarang dipilih pula untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar.

Namun, tulisan ini ialah mengenai wajah UMNO di mata rakyat, harga diri seseorang yang berjawatan Ketua Bahagian serta kebarangkalian wujudnya elemen sabotaj oleh pemimpin parti sendiri terhadap beliau.

Di mata rakyat, UMNO seolah-olah tandus pemimpin dan rakyat akan melihat tidak ada kelebihannya bila seorang Adun dibebankan lagi dengan tugas sebagai Ahli Parlimen. 

Jika wujud eleman sabotaj, bersekali dengan sentimen anti Najib yang sedang marak berikutan skandal kewangan melibatkan dirinya, Budiman akan menjadi mangsa yang mungkin membunuh terus masa depannya dalam politik.

Ia juga memperlihatkan kedudukan Jamal sebagai Ketua Bahagian tiada nilai di mata pucuk pimpinan UMNO sedangkan beliau melakukan banyak usaha di peringkat nasional untuk membela dan mempertahankan Najib.

Kesian Jamal...

Jika pengundi inginkan seorang wakil rakyat lain yang mewakili kerajaan negeri pula untuk membela dan membolehkan mereka menumpang lebih banyak kasih,  calon Pakatan Harapan ada kelebihan untuk menang di Sungai Besar.

Ini kerana calon Pas juga seorang Adun iaitu Dr Rani daripada Meru, Kelang. Berbanding Budiman yang merupakan Adun dalam Sungai Besar, Dr Rani sebaliknya adalah orang luar.

Dengan sama-sama meletakkan Adun sebagai calon di Sungai Besar, tetapi merupakan orang luar, Pas ternyata secara halus sedang memberi kelebihan kepada UMNO yang mencalonkan Adun tempatan untuk memenangi kerusi tersebut sebagai balasan kerana memberi laluan kepada usul berkaitan hudud oleh Hadi Awang di Parlimen, Khamis lalu.

Kenapa Pas tidak meletakkan calon profesional atau ulama tempatan sendiri jika benar ingin memenangi kerusi Sungai Besar?

Mengapa seseorang daripada luar yang sudah bergelar wakil rakyat dan YB mahu dijadikan wakil rakyat dan YB sekali lagi?

Lantaran itu, jika Pakatan Harapan yang mewakili PKR, DAP dan Amanah meletakkan calon yang betul dan bukan daripada kalangan wakil rakyat juga, kelebihan akan memihak kepada mereka di Sungai Besar ini.

Dengan memilih calon Pakatan Harapan, ia bukan saja mewakili rakyat yang mahu memberi mesej penolakan terhadap Najib sebagaimana yang disebut oleh Tun Mahathir Mohamad, malah pengundi juga akan mendapat tambahan wakil rakyat baru yang mewakili kerajaan negeri pula. (SH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.