Thursday, August 4, 2016

KELULUSAN PARTI BARU DI TANGAN ZAHID ATAU NAJIB?

Muhyiddin Yassin yang bakal menerajui sebuah parti politik baru mengesahkan akan membuat pendaftarannya dengan Pendaftar Pertubuhan dalam waktu terdekat ini.

Parti itu difahamkan mirip UMNO dengan tumpuan khusus kepada agenda perjuangan Bumiputera.

Sebagaimana ramai yang tertunggu-tunggu kewujudan parti baru berikutan semakin meningkat mereka yang hilang kepercayaan kepada UMNO selagi ia terus dipimpin oleh Najib Razak, tiada lain harapan Muhyiddin ialah agar sama-sama berdoa supaya parti baru ini tiada masalah untuk mendapat kelulusannya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa tiada masalah bagi pihaknya meluluskan parti baru itu jika semua syarat telah dipenuhi.
Sebagai Menteri Dalam Negeri, Jabatan Pendaftar Pertubuhan adalah di bawah tanggungjawab saya, kalau syarat-syaratnya dipenuhi, kelulusannya Insya Allah akan disegerakan, kata Zahid.

Dalam hal ini, Tun Mahathir yang merupakan tulang belakang di sebalik penubuhan parti baru itu tentu saja tiada masalah memenuhi semua syarat-syarat yang ditetapkan memandangkan beliau pernah menubuhkan semula UMNO pada tahun 1988 dahulu.

Cuma, bolehkah dipercayai sepenuhnya kata-kata Zahid itu?

Bagaimana jika Najib berbisik kepadanya agar kelulusan itu dilengah-lengahkan atau tidak diluluskan sama sekali? (SH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.