Monday, February 27, 2017

Kenapa 5 kenderaan bomba muncul di balai polis Sepang?

Anggota bomba itu kemudian mengalihkan kenderaan mereka untuk mengepung 3 kenderaan lain, seolah-olah mahu menghalang dilihat pihak luar.
ipd-sepang
SEPANG: Kehadiran 5 kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), termasuk sebuah kenderaan Pasukan Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang petang ini menimbulkan tanda tanya.
Lima jentera itu dilihat memasuki perkarangan IPD jam 3.20 petang bersama kira-kira 10 anggota bomba itu disambut polis dan dibawa memasuki bangunan IPD tersebut, sebelum keluar semula kira-kira 10 minit kemudian.
Tinjauan Bernama mendapati anggota bomba itu kemudian mengalihkan kenderaan mereka untuk mengepung 3 kenderaan lain, seolah-olah mahu menghalang dilihat pihak luar.
Kenderaan itu adalah sebuah kereta Suzuki Swift berwarna putih, Myvi hitam dan teksi berwarna merah.
Anggota bomba itu kemudian mengeluarkan beberapa perkakasan dan alat tertentu dari kenderaan Hazmat.
Pasukan yang memakai sut berwarna putih dan kuning turut kelihatan di kawasan terbabit dan memeriksa 3 kenderaan tersebut, selain kehadiran unit forensik.
Pada awal pagi Ahad lalu, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pasukan Hazmat dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) melakukan operasi bersepadu mengesan bahan kimia toksik serta berbahaya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (klia2).
Operasi tersebut dilakukan berikutan penemuan bahan kimia dikenal pasti sebagai agen saraf VX yang digunakan untuk membunuh Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, baru-baru ini. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.