Walaupun Datin Seri Rosmah Mansor amat menghormati Rajnikanth dan menyedari kehebatannya, beliau tidak membuat permintaan untuk bertemu pelakon legenda terbabit.
Pegawai khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor, menjelaskan laporan berita yang menyebut isteri perdana menteri itu meminta untuk bertemu Rajnikanth adalah tidak benar.
“Ia juga tidak ada dalam jadual kunjungan (Rosmah) ke satu daripada negara yang mengalami pembangunan ekonomi terpantas di dunia itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, Telegraph India mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya meminta untuk bertemu legenda filem Tamil berkenaan semasa melawat India.
Portal berita itu mendakwa pihaknya melihat susunan program lawatan dua hari Najib dan Rosmah ke Chennai, ibu negeri Tamil Nadu.
Laporan itu mendakwa Najib dan Rosmah merupakan peminat Rajnikanth. Bagaimanapun, kata Telegraph India, ikon filem Tamil itu belum bersetuju dengan permintaan Putrajaya.
Kata Rizal, Rosmah mengakui populariti Rajnikanth begitu meluas sama ada di India atau Malaysia.
“Bagaimanapun tidak ada kebenaran pada laporan berita baru-baru ini yang mendakwa ada permintaan untuk bertemu En Shivaji,” katanya merujuk kepada nama sebenar aktor itu, Shivaji Rao Gaekwad.
“Spekulasi daripada sumber yang tiada asal tidak membawa sebarang faedah,” katanya.
Najib dijadual mengadakan lawatan rasmi selama lima hari ke India mulai Jumaat ini atas jemputan Perdana Menteri Narendra Modi.
Ia adalah kunjungan kali ketiga Najib ke negara berkenaan sejak menjadi perdana menteri pada 2009.
Ia adalah kunjungan kali ketiga Najib ke negara berkenaan sejak menjadi perdana menteri pada 2009.
Selain Rosmah, rombongan itu turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan pegawai kanan kerajaan.
Selain New Delhi, delegasi berkenaan turut dijadual melawat Chennai dan Jaipur.
– M’kini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.