Saturday, February 29, 2020

Takiyuddin dakwa 114 ahli Parlimen sokong Muhyiddin jadi PM

Takiyuddin Hassan berkata, PAS dan Umno akan menjadi komponen terbesar dalam kerajaan baru, tetapi terlalu awal untuk bercakap mengenai komposisi Kabinet baru pimpinan Muhyiddin Yassin.
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mendakwa 114 daripada 222 ahli Parlimen menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8 untuk menubuhkan kerajaan baru.
Beliau bagaimanapun tidak memberitahu parti mana yang menyokong Muhyiddin, selain Umno dan PAS.
“Itu diberitahu kita sudah dapat majoriti mudah. Ini bukan kerajaan minoriti, tetapi kerajaan majoriti,” katanya ketika ditemui di rumah Muhyiddin di Bukit Damansara hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri baru yang selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Istiadat pelantikan itu akan diadakan di Istana Negara pagi esok.
Takiyuddin berkata, PAS dan Umno akan menjadi komponen terbesar dalam kerajaan baru yang bakal dibentuk, tetapi terlalu awal untuk bercakap mengenai komposisi Kabinet baru pimpinan Muhyiddin.
Katanya, Muhyiddin dipilih berdasarkan proses demokratik yang tidak sepatutnya dipersoalkan mana-mana pihak dan sokongan PAS kepada presiden PPBM itu ialah hasil Muafakat Nasional dengan Umno.
“Kalau di dalam kerajaan yang baru ini, kita tak tahu apa nama kerajaan yang ada ini, belum ditentukan lagi.
“Tetapi, kami akan memberi aku janji dan kerjasama dengan perdana menteri.”
Beliau berkata, ini bukan kali pertama PAS menjadi kerajaan kerana ia pernah bersama Barisan Nasional pada 1974.
“Kita bersama kerajaan BN dulu sebelum meninggalkan BN. Kemudian kita jadi kerajaan Kelantan sudah 30 tahun.
“Kita pernah jadi kerajaan Terengganu dan tahun ini kali kedua dan juga di Kedah.”
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa bersyukur kemelut politik akhirnya selesai mengikut Perlembagaan.
“Jangan terlalu gembira, kita masih satu keluarga. Ini satu proses biasa,” katanya merujuk Dr Mahathir Mohamad.

“Yang penting segala-galanya berjalan dengan baik. Jangan terlampau teruja.” - FMT

2 comments:

  1. Sistem demokrasi malaysia. Yg menang pru kalah, yg kalah pru menang dan memerintah. Mandat rakyat di ketepikan

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.