Monday, December 28, 2020

Najib : Putrajaya perlu tubuh RCI siasat kes Adib, juga siapa ‘hasut’ 10,000 orang berkumpul berhampiran kuil

 

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menggesa Putrajaya segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) bagi menyiasat kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, susulan tunjuk perasaan berdekatan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang, Selangor pada November 2018.

Najib yakin siasatan oleh RCI boleh merungkaikan beberapa isu yang belum dijawab, antaranya mengapa lebih 10,000 orang dihasut mengadakan tunjuk perasaan berhampiran kuil berkenaan.

“Kenapa anggota keselamatan kerajaan seperti bomba yang biasanya disanjung tinggi orang awam tiba-tiba menjadi sasaran kebencian pada malam kedua rusuhan.

“Siapa yang menghasut sehingga lebih 10,000 orang hadir, dan jika hasutan itu adalah berbaur agama dan bangsa,” katanya dalam menggariskan keperluan RCI itu ditubuhkan segera untuk membolehkan penyiasatan menyeluruh ke atas kematian Adib.

Najib mengingatkan bahawa pada 26 November 2018, seorang ADUN dan Exco kerajaan Selangor pernah mengeluarkan kenyataan bahawa “kuil diserang oleh sekumpulan orang Islam”. Semakan mendapati, exco berkenaan juga sudah menarik semula perkataan yang digunakannya itu, kata beliau.

“Pada 26 November 2018, lima menteri dan seorang timbalan menteri Pakatan Harapan membuat sidang media bersama di Parlimen menuduh polis tidak bertindak adil pada rusuhan hari pertama. Pertama kali dalam sejarah Malaysia, di mana menteri kerajaan salahkan penguatkuasa kerajaan sendiri,” kata Najib.

Najib menegaskan hanya siasatan menyeluruh menerusi RCI akan memastikan pemimpin politik lebih bertanggungjawab atas kenyataan dan tindakan mereka selain mencungkil kebenaran di sebalik kematian Adib.

“Pada malam 27 November 2018, jumlah orang yang hadir rusuhan naik ke lebih 10,000 orang dan anggota keselamatan telah menjadi sasaran. Sebab itu, saya kata RCI untuk Adib adalah wajar supaya kita semua terutamanya wakil-wakil Rakyat PH boleh belajar dari kesilapan, supaya kita tidak lagi membuat kenyataan bodoh,” katanya.

Beliau berkata bukan mudah untuk menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dalam negara. RCI juga diperlukan “supaya tragedi sama tidak lagi berulang di masa hadapan,” kata Najib.

“Saya mahu wakil-wakil rakyat tersebut sedar apa yang mereka telah tersalah buat dan apa akibatnya,” katanya.

Pada Sept tahun lalu, Mahkamah Koroner dalam inkues kematian Adib mengumumkan punca kematian Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh 2 atau lebih individu yang tidak dikenali.

Pengumuman itu berdasarkan keterangan 30 saksi dan 137 bahan bukti yang dikemukakan sepanjang 41 hari ia bersidang bermula Februari tahun sama.

Adib mengalami kecederaan serius selepas beliau dan anggota pasukan bomba Subang Jaya lain digerakkan ke lokasi tunjuk perasaan di Subang Jaya. Beliau meninggal dunia pada Disember 2018.

Setakat ini tidak ada sesiapa di hadapkan ke mahkamah atas kematian beliau. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.