Friday, November 26, 2021

Umno perlu tafakur dan sucikan jati diri

 

PRN Melaka sudah mustaid semuanya. Ketua Menteri Umno sudahpun angkat sumpah dan Umno seharusnya berkerajaan di negeri bersejarah itu hingga 2026. Namun kejayaan besar ini tidak patut menjadikan Umno riak atau bongkak.

Banyak lagi ujian untuk Umno harungi demi kekal menjadi gerakan siasah perdana dan utama dalam negara. Keangkuhan bukan penyudahan terbaik dalam politik. Jika tergelincir daripada ratib perjuangannya – Bersatu, Bersetia, dan Berkhidmat, Umno akan jadi tidak relevan.

Dalam sekelip mata, teknologi baharu dalam bidang komunikasi mampu memadamkan rekod gemilang Umno. Setiap entiti politik mampu membakul-sampahkan Umno jika ia tidak peka, cekap, dan tidak ikhlas bermasyarakat dengan pengundinya.

Justeru, PRN Melaka bakal jadi igaun bagi generasi Umno akan datang. Adab dan sifat komunikasi teknologi baru tidak memadai mengekalkan jenama Umno ini. Ia wajib disulami dengan rukun iman perjuangan Umno.

Kini Umno perlu bertafakur mengapa ia kini sentiasa cemas. Maruahnya tercabar. Zaman di mana menjadi ahli dan, apatah lagi pemimpin Umno, memancarkan status kemuliaan sudah berlalu. Mengapa dan bagaimana ini terjadi?

Penganut, pemikir, dan pemimpin idealisme Umno harus insaf keadaan murung ini. Caci nista, sumpah seranah, dan rasa benci seolah bertepek pada wajah dan jati diri Umno. Umno perlu tepuk dada dan tanya iman.

Apakah ada asam garam tindak-tanduk dan ramuan politik Umno yang kurang sehingga ia terpalit dengan imej hodoh ini? Apakah slogan Bersatu, Bersetia, dan Berkhidmat yang menjadi tajuk lagu perjuangannya kini tidak mampu menjadi peniup semangatnya?

Atau, adakah Umno kini sebuah parti yang angkuh hingga memualkan rakyat? Memang benar PRN Melaka boleh dihujahkan sebagai bukti Umno tidak berada dalam keadaan seburuk itu. Namun yang pasti kemenangan di Melaka lebih banyak berpunca imej dan prestasi lebih buruk saingannya.

Bersatu tidak mempamerkan akhlak terbaik selepas ia merelakan dirinya menjadi tempat singgah dan gelanggang bermain katak-katak politik yang berjudi dengan mantera ‘Langkah Sheraton’.

PAS pula longlai di Melaka sebab sebagai wadah Islam yang sepatutnya menjernihkan siasah dan memuliakan dinul-Islam dalam politik negara, ia sebaliknya bersekongkol dengan politik menjijikkan Bersatu.

Sementara PKR tidaklah nampak perkasa sejak ditalak oleh katak-katak politik yang sebelum ini bersarang dalam kolam politiknya. Keserakahan ini membias pada keluhuran kepimpinannya. Rakyat tidak mahu politik negara bergelora kerana ketidakpastian sebegini.

DAP pula menjadi parti yang rentan serta-merta kerana tidak berupaya memulihkan semangatnya setelah diragut kuasanya memerintah setelah berhasil mengaibkan Umno dan konco-konco politiknya dalam PRU 2018.

Keberhasilan Umno di Melaka tidak meriah kerana ia diraih daripada lawan-lawan yang capek dan miskin imej juang mereka dan bukan sebab keluhuran jati diri perjuangan Umno. Keadaan ini pasti tidak mengukuh semangat dan harga diri Umno. Ia terkatung dalam sfera politik negara.

Umno perlu cari jalan pulang kepada kesuciannya yang hilang kerana kelalaian dan riak. Ia leka dengan persaingan dalam rumah tangganya sendiri dan alpa mengambil iktibar mengapa ia ditolak rakyat pada Mei 2018.

Cogan Bersatu, Bersetia, dan Berkhidmat kurang dihayati. Malah dalam kalangan sesetengah pemimpin, nilai itu sengaja dicicirkan dalam kegayatan menghimpun pangkat, nama, dan harta dan mabuk dek azimat Hang Tuah kononnya; takkan Melayu hilang di dunia.

Pemimpin golongan ini tidak khatam mengaji sejarah Melayu dan tidak menghormati sempadan yang digariskan oleh Hang Jebat – Raja adil, Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah. Rakyat tidak mahu kleptokrat Umno jadi Raja apatah lagi jika kleptokrat ini zalim.

Insaflah Umno, PRN Melaka membuktikan rakyat tahu mengenang budi. Di antara yang buruk rakyat bijak mengelak yang lebih buruk. Namun mengapa Umno mesti memilih menjadi buruk?

PRN Melaka harus dianggap satu rahmat bagi Umno. Ia berkesempatan bertafakur dan mensucikan semula idealisme cogan Bersatu, Bersetia, dan Berkhidmatnya. Api politik jangan diperjudi. Ia tetap membakar jasad dan roh perjuangan sendiri.

Cogan Umno menuntut keikhlasan dan keberanian. Sudah ada di ribaan Umno sebarisan pemimpin yang gesit dan masih memiliki akal budi yang murni. Walau tanpa nakhoda yang rasmi mereka memancarkan semangat Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat tanpa jemu.

Usah waham dan ragu. Semboyan “kubur kata mari, rumah kata pergi” sudah berbunyi dan Umno perlu yakin pada firasat pusaka “patah akan tumbuh hilang pasti berganti”. Elakkan riak. Pemimpin muda, bijaksana mesti diarak.

Sangkakala politik sudah berbunyi di Bumi Kenyalang. Umno harus manfaatkan ruang waktu yang ada sebelum Ismail Sabri Yaakub terpaksa berdikari dan mengekori Sarawak mensucikan litar politiknya sendiri.

Yang pasti rahmat PRN Melaka satu peluang. Jangan Umno mentafsirnya songsang. Jika Umno bakhil berubah, sudah pasti pihak saingan akan tetap istiqamah dalam tekad melihat sejarah Umno sekali dibelasah. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.