Saturday, January 1, 2022

Isteri maut, suami patah bahu selepas kereta terbabas di LPT2

 

Keadaan kereta yang dinaiki empat mangsa selepas terbabit dalam kemalangan di KM392.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 hari ini. (Gambar PDRM)

PETALING JAYA: Seorang wanita maut, manakala suami dan dua anak saudara cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di KM392.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Ajil menghala ke Bukit Besi di Terengganu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Adli Mat Daud berkata, Nasir Mamat, 32, bersama isterinya, Norbibi Arisysa Ab Latif, 26, serta dua anak saudara, Mohamad Danish Iskandar Mohd Darus, 8 tahun dan adiknya, Mohamad Danish Idlan, 4 tahun, dalam perjalanan ke rumah saudara mereka di Cheneh, Kemaman pada 11 pagi tadi.

Berita Harian melaporkan keempat-empatnya dikatakan bertolak dari rumah mereka di Kampung Maras di Batu Rakit, Kuala Nerus ke Cheneh, Kemaman melalui LPT2 pada 10 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian pada 11 pagi, kenderaan dipandu Nasir jenis Honda Jazz dikatakan melanggar lopak air menyebabkan ia gagal dikawal lalu terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan kanan arah Bukit Besi.

“Kejadian menyebabkan isteri mangsa, Norbibi Arisysa, dari Kampung Gong Tiong, Keluang, Besut yang duduk di hadapan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah.

“Kejadian turut menyebabkan bahagian hadapan kereta mangsa remuk,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suami mangsa yang juga penjawat awam patah bahu kiri, manakala dua kanak-kanak terbabit cedera ringan.

Katanya, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut, manakala mayat Norbibi Arisya dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.