Saturday, February 5, 2022

25 tahun menunggu, lelaki OKU akhirnya miliki MyKad

 

Siti Meriam Ngah menunjukkan kad pengenalan anaknya Hazbillah Rasid yang diserahkan Ketua Pengarah Pendaftaran Ruslin Jusoh di kediaman mereka di Kampung Kubang Tepak Manir. (Gambar Bernama)

KUALA NERUS: Penantian 25 tahun seorang pemuda golongan orang kurang upaya (OKU) untuk memiliki MyKad berakhir hari ini apabila dia menerima dokumen pengenalan diri itu menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Lebih istimewa kad pengenalan Hazbillah Rasid, 37, diserahkan sendiri oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Ruslin Jusoh kepada ibunya, Siti Meriam Ngah, 64, di kediaman mereka di Kampung Kubang Tepak Manir, di sini.

Siti Meriam berkata, Hazbillah yang lumpuh seluruh badan selepas diserang sawan akibat demam panas ketika berusia tiga bulan, hanya mempunyai sijil beranak kerana dahulu keluarganya tidak mempunyai kenderaan untuk membawa anaknya itu mendaftar kad pengenalan di JPN.

“Saya tidak mahu susahkan orang untuk menumpang kereta pergi ke JPN, tetapi kira-kira dua tahun lepas apabila tahu ada program MEKAR, adik-beradiknya yang lain terus membuat permohonan dan masalah Hazbillah akhirnya selesai hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita.

Ibu kepada enam anak itu berkata, dia bersyukur kerana walaupun tidak mempunyai kad pengenalan, anak kelimanya itu tetap layak menerima pelbagai bantuan kerajaan kerana pemimpin setempat banyak membantu memudahkan urusan mereka sekeluarga.

Sementara itu, Ruslin berkata program MEKAR JPN adalah program turun padang berkaitan urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti MyKad, dan sijil kelahiran kepada golongan OKU, warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal di pedalaman.

“Ia adalah pendekatan produktif JPN dalam memastikan setiap penduduk Malaysia yang layak, mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan yang ditawarkan kerajaan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.