PETALING JAYA: Pengguna Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) tidak perlu membayar sesen pun, jika bil air mereka tidak melebihi RM30 sepanjang Ramadan ini.
Menteri Besar, Ahmad Yakob hari ini mengumumkan tawaran buat 146,660 pemegang akaun AKSB itu yang membabitkan kos sebanyak RM3 juta.
“Ia menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terutamanya ketika rakyat akan menyambut Ramadan bermula 3 April ini. Kita berharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” katanya dipetik Bernama dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim.
Sebelum ini, media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim mencadangkan kerajaan negeri memberi potongan bil air sebanyak 50% kepada pengguna yang mengalami masalah air di Kelantan.
Inisiatif itu bagi meredakan kemarahan rakyat terhadap kerajaan negeri, memandangkan isu bekalan air di Kelantan seakan-akan menjadi “barah” kepada kerajaan negeri sejak sekian lama.
Dalam perkembangan lain, selepas bersidang selama empat hari sejak Isnin lalu, sidang DUN Kelantan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.