Wednesday, September 28, 2022

Muhyiddin kata Hadi kata

 

Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang. Kedua-duanya politikus lama. Kedua-duanya cekap dan bijak mengatur strategi. Ayuh lihat apa yang dikatakan “terhasil” daripada pertemuan Muhyiddin dengan Hadi di kediaman Muhyiddin pada malam 26 Sept lalu.

“Alhamdulillah. Perbincangan selama dua jam malam tadi yang amat bermakna. Banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRU15.”

Begitu bunyi hantaran Facebook yang dimuat naik Muhyiddin pada pagi keesokannya, yakni 27 Sept 2022.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Sedikit latar belakang. Pertemuan di kediaman Muhyiddin itu diadakan selang beberapa jam selepas Takiyuddin Hassan, setiausaha agung PAS, mengeluarkan kenyataan memberitahu khalayak bahawa partinya tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak yang melabelkan pertubuhan Melayu-Islam sebagai musuh utama.

Takiyuddin bagaimanapun tidak menamakan mana-mana pihak atau parti, tetapi kenyataan itu beliau keluarkan dua hari selepas Muhyiddin (pada majlis ulang tahun keenam Bersatu pimpinannya) atas kapasiti pengerusi PN berkata, “musuh kita tidak lain adalah BN”.

Kata beliau, musuh utama itu dipersetujui semua parti komponen PN, iaitu Bersatu (semestinya), Gerakan, Star, SAPP, dan tentunya PAS.

“Persetujuan” PAS agak pelik kerana pada 20 Sept lalu, parti pimpinan Hadi itu menegaskan Pakatan Harapan adalah musuh mereka pada PRU15, bukannya BN. Ini mereka ulang dan ulangi.

Apabila bercakap mengenai BN, yang dimaksudkan ialah Umno kerana komponen BN yang lain berada dalam keadaan lemah untuk menarik perhatian (untuk rekod BN sekarang dianggotai MCA, MIC dan PBRS, selain Umno).

Menurut Takiyuddin, PAS masih percaya hanya gabungan dengan Umno-BN atas konsep “penyatuan ummah” mampu menjadi formula berkesan menghadapi PH. Lantas, PAS meletakkan PH sebagai musuh utama, manakala BN rakan kerjasama atau “taa’wun” mereka.

Oleh itu, kenyataan Takiyuddin boleh (atau sememangnya?) dituju kepada Muhyiddin. Jelas apa yang diumum Muhyiddin bercanggah dengan apa yang PAS laung selama ini.

Maka, terjadilah pertemuan di kediaman Muhyiddin pada 26 Sept lalu yang turut dihadiri Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Radzi Jidin serta Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Secara logik, tentulah Muhyiddin mahu penjelasan Hadi berhubung kenyataan setiausaha agung PAS itu kerana beliau mendakwa PAS sudah bersetuju BN musuh utama PN. Manakala Hadi pula tentu menggunakan pertemuan itu untuk mendapat butiran lanjut jika isu siapa musuh utama PN belum beres.

Ketika artikel ini saya tulis, tidak ada kenyataan daripada Hadi. Sebaliknya, Muhyiddin “memilih” untuk menceritakan apa yang berlaku dalam pertemuannya dengan presiden PAS itu. Pada hari yang sama hantarannya di Facebook dibuat, ada sidang media membabitkan Muhyiddin dan beliau diminta menghurai lanjut.

Seperti dilaporkan media, Muhyiddin memberitahu apa yang beliau “nampak dalam pertemuan itu “PAS mahu terus bersama PN dan soal PAS mahu keluar daripada gabungan itu tidak bangkit. Malah kata beliau, “dia” (Hadi) ‘reaffirm’ akan bersama-sama “meneruskan kedudukannya” dalam gabungan PN.

Tidak pasti apa maksud beliau mengenai PAS “meneruskan kedudukannya dalam gabungan PN”. Namun, Muhyiddin tampak mengetepikan kenyataan Takiyuddin dengan berkata: “Hubungan kita (Bersatu dengan PAS) ini mantap, kukuh. Kenyataan yang dikeluarkan oleh siapa-siapa itu terpulanglah kepada mereka. Kemungkinan dia dicocok ke apa waullahualam lah.”

Agak keras bunyinya. Pada hemat saya, Muhyiddin tidak mengendahkan kata-kata “siapa-siapa” kerana beliau berunding dengan presiden PAS sendiri pada peringkat teratas. Jelas Takiyuddin disifatkan hanya sebagai “individu”. Namun, individu itu selaku setiausaha agung partinya tidak mungkin buat kenyataan rasmi sebagai “individu”. Nada kenyataannya nampak mewakili parti dan direstui presidennya.

Masalah yang dipertontonkan ini sudah berlarutan dan satu kampung tahu apa masalahnya dan apa yang berlaku. Ringkas sekadar imbas kembali – Umno dan PAS duduk dalam Muafakat Nasional atau MN. PAS juga dalam PN. PAS mahu Bersatu masuk MN. Umno tak nak. Umno mahu PAS tinggalkan Bersatu dan keluar PN. PAS pula tak nak. Maka, terjadilah apa yang terjadi ini.

Diberitakan tempoh hari, Hadi bertemu Ahmad Zahid Hamidi, presiden Umno, yang menonjolkan imej Umno mahu putuskan hubungan terus dengan PAS, sekali gus menamatkan riwayat MN.

Menurut Muhyiddin, beliau ada bertanya Hadi mengenai pertemuan itu. “Dia (Hadi) jumpa, bincang setengah jam. Itu yang dilapor kepada saya. Tak ada benda yang kita sorok, tak ada hasil dari pertemuan itu,” kata bekas perdana menteri itu.

Beliau tidak pula memberitahu apa yang Hadi dengan Zahid “bincang setengah jam” semasa mereka bertemu.

Muhyiddin “memuji” langkah Hadi menunjukkan “kesatuan” ummah – “tetapi dari segi realitinya, Bersatu tak boleh bekerjasama dengan Umno. Kerana Umno sendiri telah buat keputusan dalam perhimpunan agung Umno tahun lalu untuk tidak menerima Bersatu atau mahu bekerjasama dengan Bersatu.”

Ogos lalu, Muhyiddin melontarkan cadangan PN bekerjasama dengan pembangkang kerana katanya “demi menyelamatkan negara agar tidak terus terjerumus ke dalam kancah kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa (Disember beliau dilaporkan berkata PN tidak akan bekerjasama dengan PH).”

PH menolak cadangan terbaharu itu kerana menurut Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, pelawaan itu bukan untuk menyelamatkan rakyat seperti yang didakwa Muhyiddin, tetapi “ia untuk menyelamatkan jawatan dan kedudukan mereka yang mereka dapat hasil mengkhianati mandat rakyat pada PRU14″.

Berbalik pertemuan Muhyiddin dan Hadi pada malam 26 Sept lalu. Apa yang Muhyiddin umumkan seterusnya, sesuatu yang menggemparkan.

“Saya diberi bayangan dalam tempoh terdekat, PAS akan buat keputusan muktamad ‘to cut off, they will have nothing to do with Umno’.”

,Jika atau apabila itu berlaku, MN akan secara rasminya “berkubur”. Ertinya. PAS bersama Bersatu dalam PN akan menentang Umno-BN pada PRU15. Gempar tak?

Namun, setakat ini, apa yang kita dengar ialah apa yang Muhyiddin kata Hadi kata kepadanya. Bak kata Muhyiddin, beliau diberi “bayangan”. Ertinya, apa yang dibayangkan Hadi kepada Muhyiddin.

Jelas Muhyiddin sudah membuat lontaran, yakni membuat pengumuman terbuka mengenai “hasrat” PAS. Mendahului PAS. Seakan “commit Hadi”. Kita tunggu langkah Hadi pula. Seperti dikatakan awal tadi – Muhyiddin dan Hadi bijak atur strategi. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.